Pesilat negara, Mohd Al Jufferi Jamari, menepati ramalan dengan melepasi pusingan pertama Kelas E Putera, Kejohanan Pencak Silat Dunia Ke-17 selepas mudah menundukkan pencabar dari Algeria, hari ini.

Al Jufferi menewaskan Beltas Salim 5-0 untuk melayakkan diri ke pusingan kedua kejohanan itu.

Baginya, perlawanan yang tidak terlalu agresif itu dianggap sebagai pemanas badan kerana mahu mengelakkan sebarang kecederaan yang mampu menjejaskan persembahannya.

Dia juga masih menanti aksi lebih mencabar daripada peserta negara lain berbanding dalam pusingan pertama yang agak mudah untuk diharungi.

“Dalam perlawanan ini, saya tidak memberikan sepenuh tenaga kerana mahu mengelak daripada mengalami kecederaan. Saya akan berdepan 18 pesilat lagi sebelum ke final,” ujar Al Jufferi.

Sementara itu, pesilat muda negara, Muhammad Zarish Hakim, turut mengikut jejak langkah juara bertahan itu selepas menewaskan pesaing dari Filipina, Rick Rod Ortega, 5-0.

Meskipun pertama kali menyertai saingan di pentas dunia, pingat emas tetap menjadi sasaran utama buat pesilat berusia 19 tahun itu.

“Saya bersyukur kerana mara ke pusingan seterusnya untuk meneruskan cabaran saya dalam kejohanan ini,” kata Zarish.