Pesilat negara, Mohd Al-Jufferi Jamari, berdepan cabaran suhu yang sangat sejuk ketika cuba memastikan kedudukannya selamat dalam skuad kebangsaan bagi musim 2020.

Selepas hampir setahun berehat ekoran kecederaan, Al-Jufferi kembali ke pentas antarabangsa bagi memberi saingan dalam Kejohanan Silat Asia yang buat julung kalinya diadakan di China.

Biarpun pernah bergelar juara dunia dalam kategori kelas E Putra, atlet berusia 27 tahun itu mahu turun sebagai bukan pilihan seperti kali pertama menyertai Kejohanan Asia.

Dia yang terlepas untuk beraksi dalam Kejohanan Silat Terbuka Belgium kini dalam misi wajib meraih pingat di China untuk mencapai indeks prestasi utama (KPI) dan memastikan slot dalam skuad kebangsaan tahun depan.

"Sekarang saya sudah pulih sepenuhnya, tiada masalah kecederaan. Jadi, tiada alasan untuk saya tidak dapat beraksi. Diharapkan saya dapat tampilkan aksi terbaik," katanya.

"Ini adalah KPI saya, perlu capai pingat. Bagi saya, emas perlu diraih."

Sementara itu, Al-Jufferi enggan terlalu memikirkan tentang cabaran suhu yang sejuk dan hanya mahu memberi tumpuan dalam memastikan kejayaannya.

"Daripada segi mental mungkin boleh tetapi saya tidak tahu kerana jika di Eropah seperti Belgium, apabila beraksi dalam suhu -1 darjah Celsius, hidung boleh berdarah. Saya tidak tahu bagaimana untuk atasinya, jadi hanya ke sana dan berlawan."