Juara Kejohanan Pencak Silat Dunia 2016, Muhammad Al Jufferi Jamari, mahu menunaikan janji mengerjakan umrah bersama ibu tercinta sebagai hadiah kejuaraan hatriknya dalam kejohanan itu.

Al Jufferi melakar kejayaan manis itu selepas menumpaskan pencabar dari Thailand, Kuibrohem Kubaha, 5-0 dalam aksi final Kelas E Putera di Gelanggang Olahraga Lila Bhuana, Bali, hari ini.

Bagi Al Jufferi, ia tetap menjadi Kejohanan Dunia yang paling indah dalam kerjayanya meskipun skuad negara berdepan isu penganjuran yang tidak teratur oleh tuan rumah.

"Hadiah kemenangan ini adalah untuk janji saya kepada ibu. Cukup, saya dapat kejayaan Sukan Sea tiga kali, Kejohanan Dunia tiga kali, Insya-Allah, saya akan pergi umrah dengan ibu," katanya.

Enggan terus diulit dengan pencapaian di pentas dunia, Jufferi menyifatkan tiada rehat untuknya selepas ini kerana perlu fokus kepada Sukan Sea Kuala Lumpur, Ogos tahun depan.

Paling utama adalah misi untuk merangkul emas keempat berturut turut dalam temasya dwi-tahunan itu di laman sendiri.

"Untuk Sukan Sea, saya akan buat persediaan dan akan bermain bermati-matian kerana kita adalah tuan rumah. Jadi, persediaan saya perlu kukuh dan kemas supaya saya tidak dapat dikalahkan." tambahnya.