Di sebalik kecemerlangan skuad silat negara yang menghadirkan 10 emas di pentas Sukan SEA Kuala Lumpur 2017, kini mereka perlu berdepan dengan realiti seandainya tuan rumah edisi 2019, Filipina, enggan mempertandingkan sukan tersebut.

Silat adalah antara sukan yang tidak berada dalam senarai awal Sukan SEA Manila 2019.

Ia bakal memberi kesan terhadap perangkaan program silat di Malaysia jika rayuan untuk memasukkan sukan itu dalam temasya dwi tahunan tersebut gagal.

Ia termasuk bajet untuk menghantar atlet berlatih dan bertanding di luar negara.

Bagi pesilat negara, Muhammad Al Jufferi Jamari, Malaysia juga mungkin perlu bergabung dengan Indonesia serta beberapa persatuan silat di rantau Asia Tenggara yang lain untuk menjalin kerjasama bagi meyakinkan Filipina agar memasukan semula silat dalam senarai sukan dipertandingkan.

"Apa yang buat saya takut adalah sukan silat itu sendiri seperti mahu dipupuskan. Bukanlah Majlis Sukan Negara (MSN) atau Institut Sukan Negara (ISN) yang mengambil langkah begitu.

"Contohnya, jika ada sebarang kejohanan pada 2020, akan ada masalah untuk melihat pencapaian atlet berdasarkan aksi 2019 kerana ketiadaan sebarang pertandingan," katanya.

Bagaimanapun, Al Jufferi yang juga juara dunia tiga kali yakin rundingan itu akan mendapat sokongan wakil persatuan pencak silat Filipina memandangkan mereka meraih tiga gangsa dalam Sukan Asia Indonesia Ogos lalu, iaitu satu daripada kategori silat seni dan dua lagi menerusi silat tanding.

Setakat ini, masih tiada kata putus Persekutuan Sukan Asia Tenggara (SEAGF) mengenai sukan yang bakal dipertandingkan.

"Persatuan kami juga sedang membuat rayuan kepada Filipina untuk mengadakan sukan silat tetapi tidak pasti apa program selepas ini.

"Buat kami, program untuk Kejohanan Dunia dan Sukan SEA tetap diteruskan, tidak kira ia dipertandingkan atau tidak."