Pesilat negara, Muhammad Al Jufferi Jamari, berharap perasaan gemuruh yang dirasainya ketika pusingan separuh akhir tidak akan berulang dalam final Kejohanan Pencak Silat Dunia 2016 di Gelanggang Olahraga Lila Bhuana, Bali, esok.

Dia tidak menolak berdepan pencabar tuan rumah, Komang Harik Ai Putra, ditambah dengan sorakan penyokong Indonesia, membuatkan dirinya gemuruh untuk beraksi dalam saingan itu, hari ini.

Justeru, Al Jufferi tidak mahu perasaan itu mengganggu aksi penting bertemu pesilat dari Thailand, Koibrohem Kubaha, dalam final.

“Sebelum perlawanan sebentar tadi, kadar denyutan nadi saya agak tinggi kerana sedikit gemuruh berdepan pesilat tuan rumah. Ia telah menyukarkan saya untuk mencipta kemenangan tetapi saya bersyukur kerana sekali lagi layak ke final,” katanya.

Juara bertahan itu menewaskan Komang 5-0 untuk mara ke final Kelas E Putera bagi memburu gelaran juara buat kali ketiga.

Sementara itu, jurulatih, Nasri Nasir, menganggap skuad negara masih belum melepasi fasa yang sukar sehingga mereka menamatkan perlawanan dalam final.

Selain Al Jufferi, Razak Ghazali (Kelas D Putera), Siti Rahmah Mohd Nasir (Kelas Putri E) dan Ummi Syazana (Kelas Putri F) turut membawa cabaran negara di pentas akhir untuk memburu emas.

“Pesilat negara terpaksa mengharungi cabaran yang sukar dalam pusingan separuh akhir ini. Kami dapat lihat ketika perlawanan Al Jufferi berdepan pesilat Indonesia yang diberikan sokongan hebat oleh penonton yang hadir," kata Nasir.

Dalam pada itu, Razak, yang bersaing dalam Kelas D Putera, mengakui harus bekerja lebih keras dalam pertemuan menentang pencabar tuan rumah, Iiqbal Chandra Pratama, dalam final.

Melihat rakan senegara, Al Jufferi, yang berdepan satu pertarungan sengit dengan wakil Indonesia dalam separuh akhir, Razak dapat menjangkakan situasi sama akan berlaku kepadanya, apatah lagi belum pernah menentang lawannya itu sebelum ini.

Razak, yang meraih pingat perak pada edisi lalu, enggan berputih mata sekali lagi, dalam usahanya menamatkan kempunan pingat emas di pentas dunia itu.

“Ini merupakan kali pertama saya melihat dia (Iiqbal) beraksi. Dia memiliki gerakan yang bagus tetapi saya akan cuba berusaha sebaik mungkin untuk menewaskannya,” kata Razak.