Jaguh silat negara, Al-Jufferi Jamari, mengakui sedang mencari 'sesuatu' selepas kelibatnya bersama skuad kebangsaan dipersoalkan berikutan jarang didapati di gelanggang silat Majlis Sukan Negara (MSN).

Di sebalik enggan membebani sesiapa terhadap dilemanya itu, wartawan Nadi Arena, Haliza Hamzah, berkesempatan merungkai luahan atlet berusia 28 tahun itu yang dikhabarkan hilang daripada radar selepas 13 tahun mewakili negara.

"Saya bukan tiada langsung, cuma saya ambil inisitif sedang mencari apa yang saya sudah hilang.

"Kadangkala saya boleh mencarinya dalam kalangan pasukan, tetapi kadang-kadang saya perlu bersendirian.

"Dari tahun lalu hingga sekarang, saya belum jumpa apa yang saya cari," katanya.

Dia umpama dihantui kekalahan kepada musuh ketat dari Indonesia, Komang Harik Adi Putra, dalam Sukan Asia Jakarta-Palembang 2018.

Juara dunia tiga kali itu mengambil tindakan drastik apabila menarik diri dalam aksi final Kelas E Putra (65KG - 70kg) itu yang penuh kontroversi ekoran keputusan wasit.

"Komang pesilat yang berbeza dalam pasukan Indonesia.

"Dia adalah atlet yang lain daripada yang lain, dia ada tekniknya yang tersendiri berbanding rakan sepasukannya. Dia boleh mencapai kemenangan tanpa jurulatih sekalipun," katanya.





Walaupun sukan tempur merupakan acara yang subjektif dalam memutuskan pemenangnya, Al-Jufferi mengakui aspek itu perlu diperhalusi agar kemenangan sang juara tidak boleh dipertikai lagi selepas dinobatkan.

"Saya tidak menyimpan dendam kepada Komang, sebaliknya kepada pihak juri yang saya rasa tidak adil.

"Saya sudah melupakan kisah itu, cuma saya mahukan kemenangan mutlak dan seorang juri itu biarlah betul-betul adil.

"Kalau nak ubah juri, biarlah saya ubah diri sendiri terlebih dahulu.

"Dua tahun saya membuat persiapan menghadapi Sukan Asia 2018 dan lapan tahun tunggu ia dianjurkan.

"Saya memang sasar ke final. Kalau dah melangkah ke final, kami tiada pilihan lain lagi, sama ada pingat emas atau perak.

"Apa yang mengecewakan saya, dua tahun saya berkorban demi karier tetapi apa yang saya impikan tidak tercapai.

"Jadi saya berasa tidak puas," katanya.

Al-Jufferi berhasrat menebus kekecewaan itu dengan menjuarai Kejohanan Silat Dunia di Sarawak dengan misi membuktikan keupayaannya demi mencari kemenangan mutlak.

"Walaupun Kejohanan Dunia akan dianjurkan di Malaysia, saya tidak mahu pihak lawan mempertikaikan kemenangan saya atas kapasiti tuan rumah.

"Saya akan cuba capai kejayaan besar, kalau menang di tempat lawan lebih besar ertinya.

"Biar saya buktikan boleh menang di tempat lawan."

Begitupun, bekas Olahragawan 2015 itu belum bersedia mengundurkan sambil memberi bayangan akan beralih kategori.

"Kalau saya turunkan berat badan, ia mudah memberi kesan kepada kecederaan lama.

"Jadi saya perlu turun berat badan secara berperingkat, selama tiga bulan supaya ia serasi dengan perancangan pemakanan saya.

"Saya sasar mahu bersilat sehingga berumur 34 tahun jika persatuan dan MSN masih memerlukan khidmat saya lagi.

"Tetapi saya mahu melatih pesilat di peringkat negeri terlebih dahulu," katanya.