Pesilat negara, Muhammad Al Jufferi Jamari, akan memastikan pencabar dari Indonesia, Komang Harik Ai Putra, tumpas esok dalam aksi separuh akhir Kelas E Putera, Kejohanan Pencak Silat Dunia 2016 demi maruah Malaysia.

Maruah negara seakan-akan tercalar apabila Indonesia diberikan kemenangan percuma oleh wasit meskipun peserta negara, Muhammad Zarish Hakim, tidak sedarkan diri akibat kecederaan ketika aksi suku akhir Kelas C Putera, hari ini.

Bagi Jufferi, ini masa terbaik untuk Malaysia sekurang-kurangnya mengubati kekecewaan pasukan yang tidak berpuas hati di atas insiden itu.

Apatah lagi, ia adalah penentuan untuk memastikan juara bertahan itu layak ke final, Khamis nanti.

"Saya tidak boleh melihat rakan saya dalam keadaan itu. Jika diikutkan hati, saya orang pertama yang ingin membantah keputusan wasit, tetapi saya perlu menghadapi perlawanan, jadi saya perlu bersabar.

"Berdepan Indonesia dalam separuh akhir, saya berjanji akan berlawan habis-habisan,” tegas Jufferi.

Bagi jurulatih negara, Nasri Nasir, apa yang terjadi dilihat tidak adil untuk Malaysia kerana pesilat dari Indonesia, Hanifan Yudaini, dilihat melakukan tendangan keras ke arah Zarish sehingga pengsan serta merta.

"Saya sendiri yang lihat, Zarish memang tidak sedar diri. Saya tidak sangka wasit memberikan kemenangan kepada pihak lawan,” kata Nasri.

Sementara itu, pesilat Kelas E Puteri, Siti Rahmah Mohd Nasir, makin menghampiri kejuaraan hatrik selepas mara ke final selepas menumpaskan peserta dari Belanda, Minouche Van Der Houven, 5-0.

Dia bakal bertemu pencabar dari Vietnam, Nguyen Thi Yen, buat kali kedua selepas kali terakhir bertemu dalam Sukan SEA 2015.

“Saya sangat bersyukur kerana layak ke final, tetapi agak kecewa dengan prestasi saya dalam perlawanan tadi. Saya berharap dapat memperkemaskan pergerakan saya untuk perlawanan akhir nanti,” katanya.