Atlet memanah recurve negara, Akmal Nor Hasrin, bertekad meningkatkan prestasinya bagi memperoleh kejayaan peringkat individu menjelang cabaran musim 2018.

Tidak dinafikan, kelibat Akmal lebih banyak tertumpu kepada acara berpasukan sebagai pelengkap yang cukup sesuai buat Khairul Anuar Mohamad dan Haziq Kamaruddin.

Dia bersama Khairul dan Haziq memperoleh emas acara berpasukan recurve dalam temasya KL2017, Ogos lalu.

Bagaimanapun, dalam saingan individu, dia mengakui masih mencari peluang untuk membuktikan kemampuan dalam Sukan Asia di Indonesia.

"Sasaran saya adalah untuk beraksi dalam Sukan Asia," kata atlet berusia 22 tahun itu.

Secara keseluruhan, Akmal melihat tahun ini sebagai antara yang terbaik dalam kariernya.

"Tahun ini, saya banyak peningkatan selepas tidak berapa menjadi dalam Sukan Olimpik Rio. Saya cuba bangkit pada awal tahun ini dan meningkatkan prestasi dalam kejohanan yang disertai.

"Ia satu peningkatan yang bagus buat saya," tambahnya.