Ketua jurulatih skuad skuasy negara, Ajaz Azmat, menganggap program latihan yang dijalani anak buahnya membuahkan hasil dan dia berpuas hati dengan persembahan dalam Kejohanan Terbuka Amerika Syarikat, 5 Oktober lalu.

Ajaz bangga dengan prestasi S. Sivasangari yang berjaya menyingkirkan pemain ranking ke-13 dunia dari England, Alison Waters, dalam kejohanan tersebut.

Persembahan memberangsangkan yang ditonjolkan oleh skuad wanita negara meyakinkan pengendali itu bahawa mereka mampu memberi keputusan positif dalam saingan Terbuka Wanita Dunia di Mesir, 24 Oktober depan.

Selain Sivasangari, tiga lagi pemain yang akan membawa cabaran di Mesir nanti adalah Low Wee Wern, Aifa Azman dan Rachel Arnold.

"Sivasangari beraksi cemerlang. Dia berlatih dengan gigih, mengagihkan masa dengan baik di antara pembelajaran dan skuasy. Dia mengatasi Alison dan saya fikir ia satu pencapaian yang hebat," kata Ajaz.

"Dalam Sukan SEA sebelum ini, dia tewas di tangan Datuk Nicol Ann David di pentas final, jadi saya rasa dia berada di landasan terbaik."

Sementara itu, Ajaz mahu Ivan Yuen membaiki kelemahan menjelang Jelajah Dunia PSA bertaraf platinum bersama Ng Eain Yow yang akan turut berlangsung di Mesir pada tarikh sama.

"Mereka beraksi pada tahap sepatutnya dan Ivan perlu bekerja lebih keras serta bermain dalam banyak perlawanan. Eain Yow di landasan terbaik, memenangi Terbuka Malaysia dan kami akan lihat nanti. Sudah tentu mereka profesional dan mahu meraih kejuaraan. Saya percaya kedua-dua pemain ini sangat profesional."