Pemain kriket kebangsaan, Ainool Haqqiem Md Yatim, mahu menjadikan Kejohanan Piala Asia B-19 di Sri Lanka, 10 hingga 22 Disember depan, sebagai medan mempertaruhkan aksi hebat sebelum bersedia menghadapi Sukan SEA 2017.

Skuad Malaysia B-19 berjaya menempah tiket beraksi dalam Piala Asia selepas muncul juara dalam Kejohanan Kelayakan Piala Dunia Rantau Asia Divisyen Dua, bulan lalu.

Ainool,salah seorang antara empat pemain senior kebangsaan yang bersama skuad remaja itu, teruja ingin membantu pasukan meraih kemenangan di Sri Lanka.

Sekurang-kurangnya, pengalaman yang bakal diraih beraksi bersama negara-negara yang hebat seperti India dan Pakistan, dapat dimanfaatkan sebaik-baiknya untuk persediaan Sukan SEA Kuala Lumpur, tahun depan.

"Pemain-pemain muda menganggap kami emapt pemain senior sebagai contoh kepada mereka. Kami juga akan terus membimbing mereka di dalam pasukan kerana pengalaman yang telah kami peroleh pastinya akan membantu pasukan," jelas Ainool.

Mereka yang memulakan sesi latihan sejak minggu lalu, bakal menghadapi beberapa perlawanan persahabatan bersama skuad dari Sri Lanka sepanjang bulan November ini sebelum terbang ke negara itu menghadapi kejohanan tersebut.

"Pemain Sri Lanka mempunyai pengalaman beraksi di pentas tertinggi, dengan melakukan siri persahabatan tersebut, kami akan cuba untuk mengutip sebanyak ilmu yang boleh agar dapat membantu pasukan."