Aifa Azman yang berada di tahun terakhir sebagai pemain skuasy remaja negara berpuas hati selepas berjaya mengakhirinya dengan detik manis apabila dinobatkan sebagai pemain terbaik di Anugerah Hassan Musa dan Anugerah Persekutuan Skuasy Asia (ASF) 2020.

Pemain berusia 19 tahun itu meraih penghargaan tersebut selepas menungguli pingat gangsa dalam Kejohanan Dunia tahun lalu dalam acara perseorangan dan pingat perak bagi acara berpasukan yang diketuai olehnya.

Tambah Aifa, penghargaan itu akan menjadi penyuntik semangat untuknya dalam meneruskan kemaraan selain berharap untuk mengulangi kejayaan dalam skuad senior.

Selain itu, Aifa menyasarkan gelaran juara dalam Kejohanan Remaja Dunia dan Asia 2020 bagi memastikan kejayaan berganda sebagai penamat yang lebih manis.

"Saya sangat gembira dengan pengiktirafan ini dan mahu melakukan yang terbaik lagi," kata Aifa.

Selain memberi tumpuan kepada Kejohanan Dunia dan Asia, pemain ranking ke-62 dunia itu turut mahu fokus untuk memperbaiki kedudukan skuasy dunia (PSA) yang menyaksikan ketika ini, Low Wee Wern mendahului wakil Malaysia di tempat ke-25.

Bagaimanapun, penundaan kejohanan Siri Jelajah PSA di Hong Kong dan Macau bulan hadapan ekoran wabak koronavirus menjadikan Aifa perlu bekerja keras dalam saingan seterusnya.

"Saya mahu memperbaiki ranking PSA serta cuba menampilkan aksi yang cemerlang buat kali terakhir tahun ini dalam saingan remaja."