Pelari pecut para negara, Mohd Faizal Aideal Suhaimi, sudah mula bangkit daripada kesedihan yang melanda dirinya akibat pertukaran kategori ketika penampilan sulungnya dalam Sukan Paralimpik Rio, bulan lalu.

Di Rio, Aideal terpaksa bersaing dalam acara 100 meter pecut kategori T13, dan bukannya T12.

Ia menjadi punca Aideal tidak dapat memberikan yang terbaik dan sekadar membuat catatan 11.30 saat dan terkandas di peringkat saringan.

Tidak mahu lagi dibelenggu dengan kisah suram itu, Aideal sudah membuka buku baru untuk mensasarkan catatan lebih baik dalam Kejohanan Olahraga IPC Asia-Oceania yang di Dubai pada Februari depan.

“Kami mempunyai masalah penglihatan, saya berharap pihak penganjur memberikan dua lorong untuk menghadapi acara ini nanti,” kata Aideal.

Tempoh lima bulan ini akan digunakan sebaik-baiknya oleh Aideal untuk mempertingkatkan lagi segala kelemahan diri.

Di bawah kendalian jurulatih olaharaga para negara, R. Jeganathan, Aideal berharap mampu mencapai kejayaan seperti yang dilakar rakan sepelatihnya, Mohd Ridzuan Puzi, yang meraih emas pecut 100 meter T36 di Paralimpik Rio.

“Itu sudah menjadi harapan saya untuk melakukan catatan terbaik peribadi, saya akan cuba buat yang terbaik di Dubai.”