Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah malam ini berkenan menerima Anugerah Khas Diraja, Majlis Olimpik Malaysia (MOM) 2019 bagi mengiktiraf penglibatan dan sumbangan Seri Paduka dalam sukan.

Anugerah piala itu yang berbentuk sebuah glob memaparkan kesemua bandar tuan rumah Sukan Olimpik yang menjadi simbol kepada pergerakan Olimpik dengan aksi atlet-atlet sukan utama di Malaysia di bahagian bawah, termasuk tiga yang menjadi kegemaran Al-Sultan Abdullah, iaitu bola sepak, hoki dan polo telah disampaikan dalam Majlis Anugerah dan Makan Malam Tahunan MOM Ke-26 di Kuala Lumpur.

Piala tersebut telah dibawa naik ke pentas oleh empat pemenang pingat Olimpik negara, Cheah Soon Kit dan Rashid Sidek (Atlanta 1996), Datuk Lee Chong Wei (Beijing 2008, London 2012 dan Rio 2016) serta Pandalela Rinong (London 2012 dan Rio 2016).

Bekas pemain nombor satu badminton dunia, Chong Wei, kemudian menyerahkan piala tersebut kepada Presiden MOM, Datuk Seri Mohamad Norza Zakaria, sebelum dipersembahkan kepada Yang di-Pertuan Agong.

Dalam majlis yang sama, ratu gimnas kebangsaan, Farah Ann Abd Hadi, dan juara wushu, Loh Choon How, diumumkan sebagai Olimpian 2019.

Farah, 25, sekali lagi memberikan persembahan memukau untuk memenangi tiga pingat emas dalam Sukan SEA ke-30 di Filipina baru-baru ini, menjadikannya secara keseluruhan mengutip tujuh emas, dua perak dan tiga gangsa sejak penampilannya dalam Sukan SEA 2011 di Indonesia.

Di Filipina, dia memenangi emas dalam acara wanita all around, senaman lantai dan palang bertingkat.

Farah Ann juga menjadi gimnas artistik wanita pertama negara yang melayakkan diri ke Sukan Olimpik Tokyo 2020 dalam Kejohanan Dunia di Stuttgart, Jerman, Oktober lalu.

Kali terakhir atlet gimnas layak ke acara sukan terbesar dunia itu ialah menerusi Au Li Yen dalam edisi Sydney 2000.

Choon How pula mengetepikan kesakitan yang dialaminya untuk membawa pulang dua emas Sukan SEA dengan menewaskan lawan bertaraf dunia dalam acara taijijian dan taijiquan lelaki.

Mereka masing-masing menerima RM10,000 dan pingat emas khas, yang disampaikan Al-Sultan Abdullah.

Majlis malam ini turut menyaksikan lima tokoh sukan disenaraikan ke dalam Dewan Kemasyhuran MOM, iaitu satu pengiktirafan kepada atlet, pegawai sukan, wartawan sukan dan media.

Senarai berkenaan didahului Almarhun Sultan Ahmad Shah Al-Musta’in Billah atas sumbangan baginda kepada bola sepak, antaranya Presiden Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM), Presiden Konfederasi Bolasepak Asia (AFC) dari 1994-2002 dan Presiden Persekutuan Bolasepak Asean (AFF) sejak 2011.

Tokoh lain yang tersenarai adalah bekas Setiausaha Agung MOM, Datuk Sieh Kok Chi (polo air dan MOM); Datuk Roland Wong Choon Tat (badminton); Leftenan-Jeneral (B) Datuk Seri Panglima Abdul Manap Ibrahim (hoki); dan bekas pemain tenis negara, S.A. Azman.


Senarai penuh penerima Olimpian 2019:

1. Loh Choon How (lelaki)

2. Farah Ann Abd Hadi (wanita)


Dewan Kemasyhuran MOM:


1. Almarhum Sultan Ahmad Shah Al-Musta'in Billah (bola sepak)

2. Datuk Sieh Kok Chi (polo air dan MOM)

3. Datuk Roland Wong Choon Tat (badminton)

4. Leftenan Jeneral (B) Datuk Seri Panglima Abdul Manap Ibrahim (hoki)

5. S. A. Azman (tenis)


Anugerah Khas Diraja 2019:

Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah


Piala IOC:

Perbadanan Stadium Malaysia


Anugerah Wanita dan Sukan MOM:

Toh Puan Zainon Hussein


-- BERNAMA