Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah, sentiasa mengikuti perkembangan sukan tanah air, termasuk kontroversi terkini membabitkan atlet ekuestrian negara, Qabil Ambak Mahamad Fathil.

Kesungguhan dan perhatian itu dibuktikan apabila baginda sendiri menzahirkan hasrat untuk mendapatkan penjelasan daripada pihak berkaitan mengenai nasib yang menimpa atlet kebangsaan itu.

Presiden Persatuan Penulis-penulis Sukan Malaysia (SAM), Jasni Shafie, berkata baginda menzahirkan perkara berkenaan ketika menerima menghadap kunjungan barisan kepemimpinan SAM di ibu negara, semalam.

Menurut Jasni, baginda yang meminati sukan berkuda itu menzahirkan harapan agar isu Qabil Ambak mendapat perhatian mereka yang berkenaan.

"Dalam pertemuan semalam, baginda mengambil maklum mengenai isu Qabil Ambak dan ingin mendapatkan penjelasan daripada pihak berkaitan.

"Baginda juga berharap ia dapat diselesaikan segera sebaik mungkin," katanya ketika dihubungi Bernama hari ini.

Jasni berkata dalam pertemuan selama 20 minit itu, Yang di-Pertuan Agong turut diberikan penerangan mengenai perkembangan sukan negara serta kewartawanan sukan selain menjelaskan aktiviti SAM yang turut membabitkan ahli di setiap negeri.

Sultan Abdullah turut diberikan cenderahati berupa album gambar sewaktu baginda mencemar duli berangkat hadir ke Majlis Anugerah SAM pada 10 April lalu.

Perancangan Qabil Ambak -- yang juga pemenang pingat perak Sukan Asia 2018 -- untuk ke Sukan Olimpik Tokyo 2020 terjejas kerana dia dikatakan tidak dapat kembali ke Eropah bagi menyertai baki kejohanan kelayakan ke Olimpik yang sedang berlangsung hingga Disember ini.

Ini kerana dia tidak dibenarkan masuk ke negara Eropah sejak akhir Ogos lalu ekoran isu berkaitan peraturan imigresen.

Qabil Ambak kini berada di kedudukan ketiga kumpulan Asia/Oceania bagi kelayakan ke Olimpik apabila mengumpul 748 mata di belakang Wendi Williamson dari New Zealand yang memperoleh 776 mata di kedudukan pertama, diikuti Hwang Yong-Shik dari Korea Selatan (773 mata).

-- BERNAMA