Atlet olahraga para negara, Muhammad Afiq Mohamad Ali Hanafiah, menebus kegagalan dalam Sukan Para Asia, Jakarta bulan lalu dengan meraih pingat emas dalam acara 100 meter T12 (cacat penglihatan) di pentas Para Sukma 2018 di Stadium Perak, hari ini.

Bukan sahaja atlet yang mewakili Johor itu meraih emas, malah dia juga berjaya memperbaharui rekod kejohanan dengan catatan 11.40 saat untuk memadam catatan lama 11.58s.

"Alhamdulillah. Saya berjaya meraih emas acara ini," katanya selepas perlumbaan itu.

Dalam perlumbaan disertai enam atlet itu, Afiq jelas berada dalam kelas tersendiri apabila meluru ke hadapan sebaik permulaan untuk meninggalkan jauh peserta lain.

Atlet Wilayah Persekutuan, Muhammad Norhelmi Mohd Rabi, meraih perak dengan catatan 12.13 saat manakala gangsa menjadi milik Mohd Aizam Akmar Mohd Razali (Kedah).

Dua tahun lalu di Sarawak, Afiq, 24 tahun, hanya memperoleh gangsa dalam acara tersebut selain dua emas menerusi acara lompat jauh dan 200 meter.

Selepas berjaya dalam scara kegemarannya itu, Afiq mengharapkan dua lagi emas dalam acara 200 dan 400 meter yang akan berlangsung esok dan pada hari terakhir kejohanan.

Kejayaan itu sedikit-sebanyak akan menjadi pembakar semangat kepadanya untuk beraksi dalam Kejohanan Olahraga Para Dunia 2019 di Dubai.

Sementara itu, seorang lagi atlet kebangsaan, Mohd Sobri Ghazali dari Kedah, turut memperbaharui rekod kejohanan apabila mencatat 13.79s untuk acara 100 meter T35 (cerebral palsy-berdiri).

Mohd Sobri, 38 tahun, yang memadamkan masa lama 15.18s ketika mengatasi atlet dari Perlis, Muhammad Alif Malek dan Muhammad Naqid Naqiuddin Mohd Ajimin (Kelantan), tidak sangka mampu memenangi perlumbaan itu.

Seorang lagi atlet kebangsaan yang meraih emas ialah Nurul Fazirai Mat Hussin dari Kelantan menerusi acara lompat jauh F47 (cacat anggota atas pinggang).

Atlet itu hanya 0.6m kurang daripada menyamai rekod kejohanan 4.24 meter.

Satu lagi rekod lama, iaitu acara 100m lelaki T11 (cacat penglihatan) dileburkan oleh Filemon Lirong Dionisus dari Sarawak yang mencatat kepantasan 12.64s berbanding masa lama 12.78s.

Pingat perak milik Ahmad Fikri Omar (NS) dan gangsa Mohd Fitri Abdul Ghani (Kedah).