Pelumba Terengganu Cycling Team (TSG), Muhamad Afiq Huznie Othman, kesuntukan masa untuk pulih daripada kecederaan patah tulang selangka menjelang saingan Le Tour De Langkawi (LTdL) 2019 bermula Februari depan.

Afiq terbabit dalam kemalangan ketika peringkat kedua Jelajah Fuhzou, China, Khamis lalu.

Kemalangan itu menyebabkan pelumba kelahiran Terengganu itu mengalami kecederaan paling serius dalam karier berbasikalnya.

Apa yang penting, dia semakin kesuntukan masa untuk melakukan penampilan sulung di pentas LTdL 2019 bersama TSG, Februari nanti.

"Kecederan yang saya alami ini terjadi di penghujung musim dan sudah memasuki ke waktu rehat tahunan.

"Saya yakin saya sempat pulih untuk kembali berkayuh pada awal tahun depan.

"Apapun, ia bergantung kepada tahap pemulihan saya dan saya harapkan dapat beraksi dalam saingan LTdL nanti," katanya.

Afiq merupakan adik kepada Adiq Husainie Othman yang berkayuh untuk pasukan Forca Amskin Racing dan mereka sepatutnya bertembung dalam saingan LTdL 2019.

"Saya mahu berterima kasih kepada TSG kerana banyak membantu saya selama ini," tambah Afiq.