Pelari pecut para negara, Afiq Ali Hanafiah, menyasarkan catatan 11.20 saat dalam acara 100 meter T13 bagi memenuhi tuntutan pingat dalam Sukan Komanwel tahun depan.

Setakat ini, catatan terbaik Afiq adalah 11.32 saat yang dilakukan ketika bersaing dengan atlet normal dalam Terbuka Perak, awal tahun lalu.

Afiq kerap kali mengalami kecederaan hingga menyukarkan usahanya untuk melakar rekod baru, namun itulah syarat utama yang perlu dilakukannya jika mahu muncul selaku penyumbang pingat pertama dalam Sukan Komanwel bagi wakil atlet para.

"Saya akan cuba yang terbaik untuk mendapatkan medal, sekurang-kurangnya pingat gangsa.

"Pada masa sama, saya mahu mengatasi catatan peribadi saya. Kalau saya dapat melakukan 11.20 saat, Insya-Allah saya akan dapat meraih pingat," katanya.

Walaupun beraksi dengan kecederaan dalam Sukan Para ASEAN 2017, anak jati Johor ini berjaya menyumbang emas menerusi acara 100 dan 200 meter T13.

Mengikut ranking negara Komanwel, Afiq kini menduduki tangga keempat terbaik dan memiliki kriteria untuk menyumbang pingat buat negara.

"Dalam latihan, saya menjuruskan kepada daya ketahanan. Justeru, saya tidak pasti dengan prestasi sebenar saya ketika ini.

"Dalam masa terdekat, saya perlu menyertai satu atau dua kejohanan untuk menguji kemampuan, kemudian barulah saya boleh membuat catatan sasaran untuk Sukan Komanwel," katanya.