Afifah perlu kekalkan prestasi

Oleh Penulis Jemputan 26 November 2018 98
Afifah perlu kekalkan prestasi
Kejayaan dalam Kejohanan Dunia 2017 dan Sukan Asia Indonesia 2018 bukan jaminan untuk atlet boling tenpin negara, Syaidatul Afifah Badrul Hamidi, untuk meraih slot ke dua kejohanan utama tahun depan.

Kejohanan Asia di Kuwait dan Kejohanan Dunia di Las Vegas menjadi keutamaan buat skuad boling tenpin negara selain temasya Sukan SEA Filipina sepanjang 2019.

Walaupun Afifah mempunyai pencapaian memberangsangkan dengan emas acara trio dalam Sukan Asia 2018, dia tidak terkecuali untuk bersaing merebut kelompok enam terbaik negara.

Apatah lagi, pemilihan barisan utama hanya akan dinilai sebulan sebelum kejohanan bermula.

"Enam pemain yang memenangi Kejohanan Dunia itu mungkin tidak dikekalkan.

"Kami akan melalui proses pemilihan berdasarkan apa yang dirancangkan pihak pengurusan.

"Setiap pemain perlu mengekalkan prestasi terbaik untuk dipilih," katanya.

Kejohanan Masters Korea dan Jemputan Piala Storm di Korea Selatan, bulan depan, merupakan ujian terakhir Afifah tahun ini.

"Saya mahu memburu penutup tahun yang baik dalam kedua-dua kejohanan itu.

"Saya mahu memperoleh keputusan peribadi terbaik yang membanggakan," tambahnya.
 

Tentang Penulis

Penulis Jemputan

Komen