Jurulatih skuad pelayaran negara, Mohd Afendy Abdullah, memohon agar cadangan untuk atlet, pengendali dan pegawai menetap dalam tempoh lama di tiga kluster latihan program Road To Tokyo bermula 1 Jun depan, dikaji semula.

Antara cadangan Majlis Sukan Negara (MSN) dan Institut Sukan Negara (ISN) ialah mewujudkan tiga kluster latihan untuk mengawal pergerakan atlet, jurulatih dan pegawai bagi mengurangkan risiko jangkitan pandemik Covid-19.

Namun, Afendy memiliki pandangan tersendiri mengenai cadangan tersebut.

"Kami juga perlu mengambil berat tentang keperluan atlet bagi memastikan kebajikan keluarga sekiranya diasingkan terutama ketika tempoh kawalan pergerakan (PKP)," katanya.

"Saya rasa ia akan menyukarkan sedikit untuk berjumpa keluarga. Kalau sebulan, masih dalam keadaan baik," tambah penerjun negara, Leong Mun Yee.

Sementara itu, Setiausaha Agung Persekutuan Karate Malaysia (MAKAF), Datuk Nur Azmi Ahmad, berbelah bahagi terhadap cadangan untuk atlet kembali berlatih secepat mungkin memandangkan terdapat rekod jangkitan Covid-19 di MSN, sebelum ini.

"Sebenarnya, saya tiada halangan terhadap cadangan tersebut tetapi daripada segi keselamatan atlet, ia hendaklah diutamakan. Yang pasti, kawasan MSN pernah menjadi zon merah atau kuarantin coronavirus," katanya.