Dua pelumba Team Sapura Cycling (TSC), Adiq Husainie Othman dan Zawawi Azman, tidak gusar walaupun masih belum menerima wang kemenangan daripada saingan Jelajah
Malaysia 2017.


Situasi membabitkan wang kemenangan Jelajah Malaysia bukan lagi perkara baru kerana ia banyak menimbulkan kontroversi dalam edisi terdahulu.

Bagaimanapun, saingan tahun ini yang berlangsung dari 3 hingga 7 Oktober lalu dikendalikan oleh penganjur baru, iaitu Life Pro Fit Sdn Bhd.

Adiq yang ketika itu mewakili pasukan Terengganu Cycling Team (TSG), berjaya memenangi peringkat kedua dari Lumut ke Kuala Kurau.

Jelasnya, perkara yang menjadi keutamaannya adalah menyesuaikan diri bersama TSC.

"Berita mengenai wang hadiah masih belum dapat perkembangan. Tumpuan saya adalah persiapan bagi menghadapi kejohanan akan datang bersama TSC," kata Adiq.

Pandangan sama turut disuarakan Zawawi yang muncul pelumba tempatan terbaik dalam saingan Jelajah Malaysia 2017.

TSC juga muncul pasukan tempatan terbaik di samping pelumba importnya, Wilmar Jahir Perez, mengungguli jersi raja bukit.

Kebiasaannya penganjur diberi tempoh selama tiga bulan untuk menyelesaikan sebarang tunggakan atau tuntutan wang kemenangan selepas berakhirnya peringkat terakhir perlumbaan.

"Pihak penganjur masih belum memberitahu apa-apa lagi. Saya telah memberikan tumpuan untuk saingan tahun depan. Cabaran yang sukar menanti dan kami mampu mencapai sasaran yang telah ditetapkan," kata Zawawi.

Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif Jelajah Malaysia 2017, Noraidiazhar Sulaiman, memberi jaminan wang hadiah kemenangan berjumlah RM166,000 akan diselesaikan sebelum 7 Januari depan, sekaligus menamatkan penantian pelumba sejak Oktober lalu.

"Pihak Life Pro Fit telah mendapat peruntukan daripada kerajaan sebanyak RM500,000. Saya berasakan duit peruntukan itu akan dijelaskan kepada pemenang dan juga konduktor yang terlibat menjalankan kejohanan ini," kata Noraidiazhar.