Pelumba Terengganu Cycling Team (TSG), Adiq Husainie Othman, mencipta kejutan apabila menjuarai peringkat kedua Jelajah Malaysia 2017 dari Lumut ke Kuala Kurau, Perak, petang tadi.

Dalam perlumbaan sejauh 145.3km itu, Adiq Husainie ternyata mengejutkan pelumba lain, terutama pemegang jersi kuning, Ryan Thomas, dari Oliver's Real Food Racing dengan mencatat masa 3 jam 17 minit 12 saat.

“Saya telah melakukan tujuh atau lapan penampilan dalam Jelajah Malaysia, ini adalah kemenangan pertama saya. Hari ini saya benar-benar mahu memenangi perlumbaan ini,” katanya.

Kemenangan pertama buat Adiq Husainie itu menyaksikannya berjaya mengikut jejak langkah rakan sepasukan, Nur Amirul Fakhruddin Mazuki, yang memenangi peringkat pertama, semalam.

Dalam perlumbaan dari Shah Alam, Selangor, ke Hutan Melintang, Perak sejauh 161.9km, Amirul mencatat masa tiga jam 52.46 minit, namun terlepas peluang meraih jersi kuning selepas dikenakan penalti akibat mengekori kereta pasukannya dalam tempoh terlalu lama.

Sementara itu, pelumba Team Sapura Cycling, Muhamad Zawawi Azman, mempamerkan prestasi cemerlang di laman sendiri apabila berjaya mempertahankan jersi merah terbaik Malaysia selepas tamat peringkat kedua.

“Sejak dari awal perlumbaan saya rasa penuh bersemangat selepas menerima sokongan padu penduduk tempatan, jadi saya menyasarkan untuk menamatkan perlumbaan lebih cepat.

“Cuma saya sedikit terkilan kerana dalam 1 kilometer terakhir saya telah melakukan sedikit kesilapan," ujar Zawawi.