Pengarah Agensi Anti-Doping Malaysia (ADAMAS), Datuk Dr Ramlan Abd Aziz, bimbang wujud tindakan terancang dalam pemburuan pingat Sukan Malaysia (Sukma) Perak bulan lalu selepas dua atlet angkat berat positif doping walaupun pihaknya sudah menjalankan ujian saringan sebelum temasya bermula.

ADAMAS bingung mengapa kes doping angkat berat masih wujud sedangkan mereka sudah menjalankan 224 ujian saringan.

Ia membabitkan atlet angkat berat seluruh negara sebagai syarat menyertai Sukma.

Malangnya, sampel kedua-dua atlet berkenaan dikesan positif bahan terlarang jenis methylhexaneamine -- sejenis bahan perangsang yang mampu menambah jumlah oksigen dan mengurangkan berat badan.

"Tanggungjawab untuk membasmi gejala doping ini bukannya semata-mata terletak kepada ADAMAS ataupun persatuan, malah jurulatih dan atlet juga.

"Ada beberapa perkara yang kami tekankan, iaitu tidak lalai dan longgar dalam segala amalan dalam latihan mahupun pertandingan," kata Dr Ramlan.

Ujian saringan dijalankan sebulan sebelum temasya berlangsung.

Ini bermakna, atlet dan jurulatih berani mengambil risiko kerana bahan ini dapat dikeluarkan daripada badan dalam tempoh singkat.

"Ia boleh keluar dengan cepat daripada sistem badan, tentu sekali ia dibekalkan kepada atlet pada saat-saat akhir dalam Sukma.

"Ia sesuatu yang perlu diselidik ADAMAS," tambahnya.

Sementara itu, Presiden Persatuan Angkat Berat Malaysia (PABM), Datuk Ayub Rahmat, berkata kedua-dua atlet itu diberi tempoh dua minggu untuk membuat keputusan sama ada mengaku salah atau meminta ujian sampel B mereka dilakukan.

Jika didapati bersalah, atlet terbabit perlu memulangkan semula pingat Sukma Perak kepada Majlis Sukan Negara (MSN) selain menjalani penggantungan maksimum selama dua tahun.

"Salinan surat daripada ADAMAS turut dihantar kepada Persatuan Bina Badan dan Angkat Berat Terengganu (PBBABT).

"Secara dasarnya mereka berasa kesal dengan apa yang berlaku.

"ADAMAS akan mengadakan sesi pendengaran dalam tempoh terdekat, kami juga akan bertemu dengan kesemua presiden persatuan serta merangka peraturan-peraturan PABM," katanya.