Ketika ramai menyatakan persiapan The Pocket Rocketman, Azizulhasni Awang, ke Sukan Olimpik Tokyo 2020 tergendala, pelumba berusia 32 tahun itu masih mampu mencari sudut positif daripada insiden kemalangannya pada Disember lalu.

Sebelum ini, Azizulhasni mengalami kemalangan ketika siri Piala Dunia di Brisbane, Australia, dalam pusingan pertama acara keirin.



Kemalangan tersebut menyebabkan pelumba kelahiran Terengganu itu terpaksa direhatkan beberapa bulan kerana mengalami kecederaan di bahu yang agak serius.

"Ada hikmah di sebalik kemalangan tersebut. Ia secara tidak langsung membantu saya untuk mengurangkan otot bahagian atas badan saya untuk memberikan lebih aerodinamik ketika berada di atas basikal," kata Azizulhasni menerusi temubual dengan wartawan Nadi Arena, Muiz Aziz.

Sementara itu, rakan sepasukan negaranya, Muhammad Shah Firdaus Sahrom, yang sedang mencari mata untuk layak ke Sukan Olimpik dalam acara individu, tidak memandang remeh saingan yang bakal dihadapi di Jerman pada 26 Februari ini.

"Saingan Kejohanan Dunia sudah hampir sama dengan Sukan Olimpik. Setiap atlet yang bersaing memerlukan mata kelayakan dan saya menjangkakan tentangan yang sukar dalam kejohanan tersebut," kata Firdaus.