ACC terpaksa ditangguh akibat Coronavirus

Oleh Staff Writer 16 Februari 2020 284
ACC terpaksa ditangguh akibat Coronavirus
Kejohanan Berbasikal Lebuhraya Asia (ACC) yang sepatutnya menjadi pentas buat pelumba negara seperti Harrif Salleh melebarkan dominasi selepas Le Tour de Langkawi (LTdL) terpaksa ditangguhkan ekoran kebimbangan jangkitan Coronavirus.

Persekutuan Kebangsaan Berbasikal Malaysia (PKBM) memberi kepercayaan kepada jurulatih negara, Mohd Yusof Abd Nasir, untuk membentuk pasukan bagi menghadapi saingan ACC yang sepatutnya bermula bulan depan.

Antara nama dikaitkan adalah pakar pecut Terengganu Cycling Team (TSG), Harrif, memandangkan laluan perlumbaan di Cyberjaya lebih landai tetapi ia terpulang kepada pertimbangan Yusof.

"Kalau mengikut prestasi dalam tahun ini, memang kami nampak pelumba Malaysia menunjukkan prestasi terbaik. Saya harap pelumba kebangsaan bersatu untuk meraih kemenangan buat negara," kata Presiden PKBM, Datuk Abu Samah Abd Wahab.

Semalam, mesyuarat khas acc yang bersidang di Dubai, Emiriyah Arab Bersatu (UAE) memutuskan saingan itu terpaksa ditangguhkan ekoran kebimbangan jangkitan Coronavirus.

Daripada aspek positif, ia memberi lebih banyak masa kepada negara bertanding dalam melakukan segala persiapan.

"Memandangkan isu Coronavirus masih panas dan tidak menunjukkan penurunan, ACC telah buat keputusan untuk menangguhkan kepada satu tarikh yang belum ditentukan lagi," ujar ahli lembaga eksekutif ACC, Datuk Amarjit Singh.


Editor: Nafis Abdullah

Tentang Penulis

Staff Writer

Komen