Gandingan pelumba berpengalaman dan meningkat naik negara, Fatehah Mustapa dan Anis Amira Rosidi, membuahkan hasil dalam Kejohanan Berbasikal Trek Asia (ACC) di Korea Selatan hari ini.

Gandingan pelumba wanita negara itu meraih pingat gangsa dalam acara pecut berpasukan wanita di Velodrom Pusat Latihan Kebangsaan Jingcheon.

Dalam perlumbaan penentuan pingat gangsa itu, Fatehah dan Anis Amira, yang mempamerkan henjutan bertenaga, mencatat 34.792 saat untuk menewaskan gandingan Hong Kong, Yeung Cho Yin-Li Yin Yin, yang mencatat 34.925s.

Terdahulu, pasangan pelumba negara itu merekodkan masa 35.081s untuk berada di tempat ketiga daripada tujuh pasukan dalam pusingan kelayakan.

Pingat emas dimenangi pasukan China yang diwakili Chen Feifei-Zhang Linyin manakala pingat perak diraih gandingan tuan rumah, Kim Soohyun-Lee Hyejin, yang masing-masing mencatat masa 33.423s dan 34.139s.

Sementara itu, nasib berbeza menimpa skuad lelaki negara apabila terlepas pingat gangsa dalam acara pecut berpasukan lelaki.

Skuad negara, yang dibarisi Mohammad Fariz Haikal Mohd Kadir, Muhammad Shah Firdaus Sahrom dan Muhammad Fadhil Mohd Zonis, tewas kepada tuan rumah dalam penentuan pingat gangsa selepas mencatat 45.066s berbanding Korea Selatan 44.920s.

Pingat emas acara itu dimenangi pasukan Jepun yang diwakili Amagai Kazuki, Nitta Yudai dan Fukaya Tomohiro, manakala skuad China yang terdiri daripada Zhou Yu, Luo Yongjia dan Zhang Miao, berpuas hati dengan pingat perak.

-- BERNAMA