Persatuan Angkat Berat Malaysia (PABM) memandang serius tuduhan atletnya, Hafifi Mansor, yang mendakwa ada individu cuba menjatuhkannya susulan kes doping yang menyelubunginya ketika ini.

Semuanya berpunca apabila Hafifi disahkan positif doping bahan terlarang, oxymetholone, tanpa diketahui dirinya sendiri.

Ekoran itu, dia digantung sementara oleh Persekutuan Angkat Berat Antarabangsa (IWF).

Sejurus pulang dari Australia bagi menyaksikan proses ujian sampel B air kencingnya semalam, Hafifi mendakwa dirinya seakan-akan menjadi mangsa khianat seseorang tanpa mendedahkan individu tersebut merujuk kepada pegawai, barisan jurulatih mahupun rakan sepasukan.

Justeru, pihak PABM memandang serius dakwaannya dan menggesa atlet angkat berat itu segera membuat laporan rasmi kepada persatuan bagi membolehkan siasatan dalaman dijalankan.

"Daripada sudut ini, saya memang rasa kecewa kerana dia sebagai atlet negara harus berhati-hati. Saya juga menyarankan kepada atlet lain agar bertati-hati sebab kita tidak tahu siapa.

"Kita perlu mengambil kira makanan yang kita makan setiap hari. Ia dibimbangi kerana makanan itu kadang-kadang kita tidak rujuk kepada pihak lain. Dia ada doktor, jadi rujuklah kepada doktor," kata Pemangku Setiausaha Kehormat PABM, Abu Hanapah Ismail.

Tambah beliau, jika Hafifi berasakan dirinya teraniaya, dia harus membuat laporan polis kerana ia membabitkan kariernya yang tercemar.

"Kalau berdasarkan cara dia bercakap, ada pihak ketiga. Jadi, padangan saya daripada sudut perundangan, dia harus membuat laporan polis.

"Senang bagi pihak polis untuk membuat siasatan. Kalau sudah menerima laporan, pihak kami akan membuat siasatan dalaman. Itu sahaja saranan saya," katanya.

Keputusan sampel B Hafifi dijangka hanya akan diketahui pada Selasa depan.

Pemenang pingat emas Sukan Komanwel Glasgow 2014 itu didapati positif bagi anabolic steroid oxymetholone ketika menyertai Terbuka Australia di Melbourne, Mac lalu.

Dia berdepan penggantungan selama empat tahun kerana oxymetholone adalah bahan untuk meningkatkan prestasi yang meningkatkan pengeluaran sel darah merah dan menggalakkan pertumbuhan otot.

Ia disifatkan sebagai bahan terlarang yang serius oleh Agensi Anti-Doping Dunia (WADA) di bawah kategori S1.