Wakil negara, Westports Malaysia Dragons sekali lagi ditundukkan di laman sendiri dalam saingan Liga Bola Keranjang ASEAN (ABL) 2017/18, kali ini dikecewakan Mono Vampire dari Thailand menerusi keputusan 107-90, hari ini.

Saingan di Stadium MABA itu menyaksikan Dragons ingin menebus kehampaan selepas tumpas kepada Chong Son Kung Fu, Rabu lalu.

Bagaimanapun, tuan rumah dilanda perkhabaran kurang enak apabila tonggak import, Marcus Marshall, diketepikan pada saat-saat akhir berikutan kecederaan hamstring.

Vampire pula mempertaruhkan dua bekas pemain import Dragons, Reggie Johnson dan Jason Brickman.

Suku pertama memihak Vampire untuk mendahului Dragons 38-25.

Memasuki suku kedua, Dragons mula menemui rentak bagi merapatkan jurang sambil dibantu dengan aksi kemas Ting Chung Hong bagi kedudukan 54-49.

Rentak itu berterusan dalam suku ketiga, namun Vampire mampu mengekang asakan tuan rumah di samping beberapa percubaan tiga mata Dragons gagal menemui sasaran.

Aksi cemerlang seorang lagi import Vampire, Patrick Sanders, dalam suku terakhir turut memastikan kemenangan memihak pelawat.

"Kami mencurahkan segala-galanya dalam perlawanan ini. Untuk itu, pencabar-pencabar lain akan mula memberi perhatian kepada kami.

"Tiada siapa yang akan menunjukkan belas kasihan kepada kami, namun kami sedang cuba membina sesuatu," ujar jurulatih Westports Malaysia Dragons, Chris Thomas.

Jurulatih Mono Vampire, Douglas Marty, berpuas hati dengan fokus pemainnya sepanjang perlawanan kerana sedar Dragons pasti mengidamkan kebangkitan.

"Pemain mengekalkan konsistensi dan kami sedar Dragons memburu kemenangan," katanya.