Atlet luncur air negara, Aaliyah Yoong, kini giat meneruskan latihan selepas kejayaan dalam Sukan SEA 2017 dan sasaran utamanya adalah Kejohanan Dunia B-17 di Madrid, Ogos depan.

Aaliyah kini menjalani persiapan untuk menghadapi saingan Moomba Masters di Melbourne, Australia, Mac depan.

Pemenang tiga pingat emas Sukan SEA Kuala Lumpur itu kini di ranking ke-17 dunia dengan sasaran menghampiri ranking 10 terbaik dunia, tahun depan.

"Bagi tahun depan, saya akan menghadapi Kejuaraan Dunia Remaja, ia sangat penting dan saya berharap untuk menaiki podium.

"Saya menyasarkan dalam kalangan 10 terbaik dunia dalam tempoh dua atau tiga tahun lagi," katanya.

Bagi bapa merangkap jurulatih Aaliyah, Hanifah Yoong Abdullah, Aaliyah tetap meneruskan latihan sejurus temasya Ogos lalu berakhir.

Selain saingan Moomba Masters, Aaliyah juga akan beraksi dalam saingan Masters Amerika Syarikat, Mei depan.

Aaliyah juga dijadualkan menjalani latihan di Milan, Itali, sebelum beraksi dalam Kejohanan Dunia.

"Dia perlu pergi ke Eropah lebih awal kerana perlu menyesuaikan diri dengan waktu dan suasana air di sana. Kedalaman air juga berbeza.

"Adalah wajar untuk membuat persediaan seminggu lebih awal di sana," kata Hanifah.