96 pasukan sertai Lawn Ball Terbuka Terengganu

Oleh Tengku Danish Bahri 3 Disember 2017 63
96 pasukan sertai Lawn Ball Terbuka Terengganu
 Sebanyak 96 pasukan dari seluruh negara menyertai Kejohanan Lawn Ball Open Pairs Terengganu 2017, sekaligus penyertaan terbesar direkodkan Persatuan Lawn Ball Negeri Terengganu (PLBNT).
 
Kejohanan lima hari itu turut menyaksikan 351 perlawanan, termasuk melibatkan satu pasukan dari Hong Kong, dengan hadiah keseluruhan berjumlah hampir RM13,000.
 
Gelaran juara dirangkul gandingan atlet Pahang, Wan Muhamad Faris Ridhwan Wan Azlan dan Muhamad Najah Yazid, yang menewaskan Sheikh Muhammad Arif Sheikh Mohd Zaibazli dan Abdul Shafiq Afif Abdul Rahman yang mewakili PDRM.
 
Menang 12-9 dalam aksi final, Wan Muhammad Faris dan Muhammad Najah membawa pulang wang tunai RM5,000 dan trofi manakala Sheikh Muhammad Arif serta Abdul Shafiq terpaksa berpuas hati dengan RM3,000.
 
Wan Muhammad Faris ketika ditemui berkata latihan selama dua minggu sebelum kejohanan bermula berjaya meningkatkan keserasian mereka dalam berdepan lawan lebih hebat.
 
Bekas pemenang pingat gangsa acara perseorangan Sukma Pahang 2012 itu juga menyifatkan nasib menyebelahi mereka dalam laluan mara ke final dan seterusnya menjuarai kejohanan itu.
 
“Ini adalah penampilan pertama kami sejak menyepi daripada sebarang kejohanan dua tahun lalu dan penantian itu ternyata berbaloi.
 
“Walaupun tidak lagi seaktif dulu, saya tetap memberi sumbangan dengan tunjuk ajar kepada atlet pelapis skuad Sukma Pahang,” katanya.
 

Tentang Penulis

Tengku Danish Bahri

Komen