Sehingga jam 5 petang tadi, lebih 600,000 penduduk Sarawak terlibat dalam pelbagai aktiviti sukan secara serentak di pelbagai lokasi di negeri ini sempena Hari Sukan Negara 2016.

Sambutan peringkat negeri berlangsung di Padang Merdeka, Kuching dengan kehadiran lebih 13,000 peserta seawal jam 5 pagi.

Ini bagi membolehkan mereka menyertai pelbagai aktiviti, termasuk larian 5km, berbasikal 10km dan 30km, bola sepak jalanan, zumba, aerobik dan pelbagai acara sukan lain.

Peserta larian dilepaskan oleh Ahli Dewan Undangan Negeri Tupong, Fazzruddin Abdul Rahman, manakala Residen Bahagian Kuching, Suharmin Chasemon, melepaskan acara berbasikal sekitar jam 7 pagi.

Majlis perasmian pula disempurnakan oleh Menteri Muda Belia dan Sukan Sarawak, Datuk Abdul Karim Rahman Hamzah.

Dalam ucapannya, Abdul Karim menasihati rakyat agar terus terlibat dalam aktiviti kecergasan untuk kekal sihat dan cergas.

"Ia penting kerana kebanyakan penduduk di negeri ini kini dihantui masalah obesiti.

"Untuk kekal cergas dan sihat, kita tidak boleh malas. Kita harus sentiasa bersenam, membakar lemak dan kalori," katanya.

Abdul Karim menjelaskan, kebanyakan generasi baru di negeri ini berhadapan masalah kegemukan berikutan kesibukan kerja selain gaya hidup yang kurang sihat.

“Jika kita malas bersenam, kita akan mudah mendapat sakit dan menjadi seorang yang obesiti bukanlah sesuatu yang boleh dibanggakan," tegasnya.

Katanya, beliau amat gembira kerana jumlah peserta pada tahun ini lebih ramai berbanding tahun-tahun lepas.

Acara sukan tersebut bermula pada Jumaat dan berakhir pada hari ini.