Sebanyak 49 pasukan bakal memeriahkan Karnival Ragbi 10s Labuan 2016 yang akan berlangsung di Dataran Labuan, hujung minggu ini.

Kejohanan edisi ke-16 yang dianjurkan Persatuan Ragbi Labuan itu bakal mempertandingkan beberapa kategori, termasuk kategori kelab senior, sekolah bawah 16 tahun, wanita dan juga veteran.

Pasukan yang bertanding dalam kategori kelab senior akan bersaing merebut Piala Ahli Parlimen Labuan manakala kategori sekolah bawah 16 tahun akan bersaing untuk Piala Ketua Pemuda UMNO Labuan.

Sementara itu, pemenang bagi kategori wanita pula akan membawa pulang Piala Puan Sri Datin Seri Utama Diana Diego manakala kategori veteran akan bersaing merebut Piala Tan Sri Pandikar Amin Mulia.

Selain pemain tempatan, turut dijangka menyertai kejohanan berkenaan ialah pemain ragbi dari luar negara dengan seramai kira-kira 1,000 orang dijangka membanjiri Dataran Labuan sempena karnival itu.

Difahamkan juga, semua juara bertahan dalam empat kategori utama yang dipertandingkan, akan kembali mempertahankan kejuaraan mereka.

Untuk rekod, pasukan Labuan Marlin akan mempertahankan kejuaraan kategori kelab senior manakala Sabah College akan mempertahankan kejuaraan kategori sekolah bawah 16 tahun.

Sementara itu, dua lagi juara bertahan bagi kategori wanita dan veteran turut dijangka kembali bersaing.

Orang ramai yang ingin mendapatkan maklumat lanjut berhubung kejohanan itu boleh melayari laman Facebook Labuan 10s.