Atlet olahraga negara, G. Aravinn Thevarr, mahu meletakkan fokus kepada acara 400 meter bermula tahun ini selepas beraksi cemerlang mengungguli acara itu dalam Sukan Institusi Pengajian Tinggi (SUKIPT) 2018.

Aravinn memenangi pingat emas 400m dengan catatan masa terbaik 48.06 saat untuk
menyingkirkan atlet sandaran bagi acara itu, Azam Masri, yang sekadar berpuas hati di tempat keempat.

Melihat kepada pencapaian itu, Aravinn mahu mula fokus terhadap acara itu dengan lebih serius selepas ini bagi membantu dirinya mencatat masa yang lebih baik untuk acara kegemarannya, 200m.

"Saya mengambil serius untuk menghadapi aksi 400m kerana ia akan membantu dalam acara 200m. Acara 200m masih kekal sebagai keutamaan saya, cuma saya mahu mencuba 400m.

"Selepas ini, saya akan beraksi untuk kedua-dua acara," katanya.

Pemenang gangsa Sukan SEA 2017 itu bakal berlepas ke Jakarta hari ini bagi menghadapi Kejohanan Pra-Sukan Asia.

Bagaimanapun, dia masih belum pasti sama ada akan beraksi dalam kedua-dua acara itu atau tidak.

"Saya akan berbincang dengan jurulatih sama ada hanya akan menyertai 200m atau kedua-duanya di Jakarta."