Sebanyak 389 pasukan dan lebih 7,000 pengayuh akan terlibat dalam aksi Regata Sarawak yang bermula hari ini di Tebingan Kuching, menjadikan ia rekod baharu dalam sejarah penganjuran tahunan sukan tersebut.

Residen Bahagian Kuching, Shukarmin Chasemon, berkata perburuan gelaran Raja Sungai itu menjadi lebih menarik kerana ia melibatkan sebanyak 17 kategori perlumbaan, termasuk perahu tambang berdayung, perahu tambang berenjin, perahu balok, perahu bidar dan perahu kenyalang.

“Secara keseluruhan, lumba perahu Regata Sarawak yang bertemakan ‘The Race For Harmony’ ini melibatkan 26 saringan dan 17 peringkat akhir dengan tawaran wang tunai keseluruhan berjumlah RM250,000.

“Pemenang gelaran ‘Raja Sungai’ akan membawa pulang piala dan wang tunai RM10,000,” katanya lagi.

Timbalan Ketua Menteri merangkap Menteri Pelancongan Kesenian dan Kebudayaan Negeri, Datuk Amar Abang Johari Tun Openg, akan mewakili Ketua Menteri, Tan Sri Adenan Satem, untuk merasmikan Regata Sarawak, pagi esok.

Yang di- Pertua Negeri, Tun Pehin Sri Abdul Taib Mahmud, dijangka menyampaikan hadiah kepada pemenang ‘Raja Sungai.’

Pertandingan kali ini lebih meriah kerana ia diadakan serentak dengan Fiesta Tebingan Kuching selepas acara perlumbaan perahu naga diadakan minggu lalu.