Majlis Sukan Negara (MSN) memuktamadkan seramai 210 atlet dalam Program Senior 2018 dengan jurulatih renang kebangsaan, Paul Birmingham, berdepan tugas sukar apabila hanya tiga atletnya akan menggalas cabaran dalam Sukan Komanwel dan Sukan Asia, tahun depan.

MSN memulakan Program Senior 2018 ketika Sukan Komanwel Gold Coast 2018 bakal bermula enam bulan lagi, dan kebanyakan daripada 210 atlet sudah menandatangani kontrak dengan misi utama menamatkan cabaran dalam kelompok 10 terbaik.

Cuma beberapa sukan diwakili sejumlah kecil atlet seperti angkat berat (seorang), tinju (dua) dan paling mengecewakan, renang (dua).

“Ini adalah untuk memastikan atlet-atlet yang terpilih mampu membawa cabaran ke Sukan Komanwel pada April 2018 dan Sukan Asia, lima bulan kemudian.

“Bagaimanapun, persiapan untuk Sukan SEA 2019 akan dimulakan pada Januari 2018,” kata Pemangku Pengarah, Bahagian Pengurusan Atlet MSN, Jefry Ngadirin.

“Sukan renang mengalami penurunan prestasi sejak kebelakangan ini dan sebab itu kami memikirkan untuk mengorak langkah sejajar dengan negara-negara lain yang turut memiliki program pembangunan tersendiri.

“Kedudukan Paul Birmingham sebagai jurulatih juga akan dibincangkan pada Januari dan setakat ini, kami masih percaya ada sesuatu yang boleh disumbangkannya,” katanya.

Dua perenang dalam Program Senior 2018 adalah Erika Kong dan Phi Jinq En sementara Welson Sim dalam Program Podium.

Apa yang mengecewakan, acara renang di Gold Coast menawarkan 50 pingat emas. Jika dilihat secara perbandingan, olahraga yang dikritik ekoran prestasi buruk beberapa tahun lalu, menyaksikan 15 atlet terpilih untuk menggalas cabaran negara ke Australia dan Indonesia, tahun depan.