Menghampiri penghujung tahun 2020, ratu pecut negara, Zaidatul Husniah Zalkfli, mengakui bahawa dia melalui pelbagai dugaan untuk meneruskan kelangsungan kariernya sebagai seorang atlet.

Dalam satu pendedahan kepada Nadi Arena hari ini, Olimpian negara itu juga mengakui bahawa dia pernah berfikir untuk bersara daripada sukan itu disebabkan masalah kecederaan anterior cruciate ligament (ACL).

"Kalau nak diikutkan agak pahit kerana saya mengalami kecederaan. Jadi sepanjang 2020 saya hanya banyak melakukan pemulihan di ISN (Institut Sukan Negara).

"Untuk pulih daripada ACL memang sangat susah. Saya baru kali pertama mengalaminya, jadi saya tidak tahu bagaimana cara untuk menanganinya.

"Saya hampir berputus asa kerana sudah dua kali menjalani pembedahan lutut.

"Ketika itu saya sedang sibuk menjalani persiapan perkahwinan dan suami mendorong saya untuk meneruskan karier.

"Kerana saya tahu tahap kemampuan saya, jadi saya kekal kuat untuk menjalani pemulihan setiap hari.

"Saya tidak berlari langsung sepanjang 2020, sudah hampir setahun.

"Apabila menjalani pemulihan di trek, saya amat rindu untuk berlari.

"Saya hanya mahu pulih 100 peratus terlebih dahulu kerana apabila sudah benar-benar pulih, barulah saya boleh memulakan larian dengan betul," katanya.