Persatuan Karate Malaysia (MAKAF), memberi masa selama tiga bulan kepada 15 atlet yang bakal dipilih untuk menyertai latihan bersama skuad kebangsaan bagi membuktikan prestasi terbaik andai ingin diserap mewakili negara sepenuhnya, tahun depan.

MAKAF akan menentukan 15 atlet dalam sesi pemilihan terbuka hari ini untuk mereka memulakan latihan bersama skuad negara tahun depan.

Mereka yang terpilih perlu memanfaatkan tempoh masa tiga bulan bagi menambat hati ketua jurulatih, Ali Reza Souleymani, sebelum jumlah itu dikecilkan bergantung kepada prestasi dan tahap disiplin.

Namun, elaun 15 atlet berkenaan akan berada di bawah tanggungan MAKAF terlebih dahulu selama tiga bulan sebelum Majlis Sukan Negara (MSN) memutuskan atlet terbaik yang akan dipilih untuk mengikat kontrak bersama skuad negara.

"Kami mahu menambah bilangan atlet dalam skuad negara kerana jika atlet sedia ada tidak dapat beraksi ekoran kecederaan, kami mempunyai pengganti," kata Setiausaha Agung MAKAF, Datuk Nur Azmi Ahmad.

Setakat ini, hanya ada enam atlet senior di bawah bimbingan Ali Reza yang baru mengambil alih kedudukan Andris Vasiljevs sejak awal bulan ini.

Justeru, beliau mengharapkan MSN dapat mempertimbangkan untuk memuktamadkan sekurang-kurangnya empat lagi atlet baru terbaik diserap ke dalam skuad kebangsaan sepenuhnya.

"Saya mahu membawa masuk lebih ramai atlet ke dalam skuad negara dan berharap MSN akan mempertimbangkannya," katanya.