Sebanyak 110 pasukan menyertai Kejohanan Petanque Tertutup Terengganu di Arena Persatuan Petanque Dungun (PADU) semalam, sekali gus menyaksikan ia merupakan jumlah penyertaan terbesar sejak dua edisi lalu.

Menurut Timbalan Presiden Persatuan Petanque Terengganu (PETER), Zulkifli Salim, sambutan yang menggalakkan itu menunjukkan sukan tersebut semakin diminati, seterusnya membantu melahirkan lebih ramai atlet ke peringkat tertinggi.

“65 pasukan lelaki, 20 pasukan wanita dan 25 pasukan veteran mengambil bahagian, termasuk badan kerajaan, persatuan petanque dan sekolah di seluruh Terengganu.

“Sukan ini semakin popular dan ramai atlet Terengganu yang beraksi sehingga ke peringkat kebangsaan, malah ketika ini tiga anak negeri ini sedang dalam persiapan menjelang Sukan SEA tahun hadapan.

“Terengganu juga adalah perintis pembangunan petanque sejak persatuan ini ditubuhkan pada 1995 dan presiden pertama Persekutuan Petanque Malaysia adalah dari Terengganu.

“Pembangunan petanque kini lebih menyeluruh dan negeri ini masih antara kuasa besar, terutama dalam temasya Sukan Malaysia (Sukma),” tambah Zulkifli.

Dua beregu pilihan Pasukan HC, Syed Ali Syed Akil dan Mohammad Syurki Kamaruddin, serta Syed Akmal Fikri Syed Ali dan Ahmad Hilmi Aziz, muncul juara bersama kategori lelaki dan berkongsi hadiah wang tunai juara dan naib juara berjumlah RM1,000 keseluruhan dan sijil.

Kategori wanita turut menyaksikan penguasaan pasukan dari Dungun, selepas pasangan Sharifah Aqilah Farhana Syed Ali dan Tuan Shahirah Tuan Mansor, menang 13-6 ke atas beregu Polis Diraja Malaysia (PDRM), Nur Ain Amerah Mohd Noor dan Noorliza Mohd Noor.

Selaku juara, Sharifah Aqilah dan Tuan Shahirah memenangi wang tunai RM300 berserta sijil manakala beregu adik-beradik PDRM itu membawa pulang RM200 dan sijil.

Pasangan Azman Ariffin dan Rashaini Mamat pula muncul juara kategori veteran dan memenangi wang tunai RM400 berserta sijil.