Ketua Pengarah Majlis Sukan Negara (MSN), Datuk Ahmad Shapawi Ismail, menyifatkan acara terjun 10 meter platform seirama wanita sebagai taruhan utama Malaysia untuk memburu pingat emas sulung dalam Sukan Olimpik Tokyo 2020.

Ia selepas kontinjen negara kerap meraih kejayaan besar dalam acara itu.

Sama ada pingat perak dalam temasya Rio 2016 atau Kejohanan Dunia 2019, acara berkenaan akan menjadi harapan terbaik negara untuk meraih pingat emas sulung dalam sejarah Sukan Olimpik.

"Kita boleh meletakkan harapan kepada pasangan terjun seirama (wanita) untuk mencuri pingat emas yang diharapkan.

"Tetapi kita harus berhati-hati dan berwaspada bahawa ada satu lagi pasangan dari Korea Utara yang tidak dapat menyertai pertandingan (Kejohanan Dunia FINA) kali ini.

"Mereka juga merupakan pasangan yang sentiasa memberikan cabaran yang sengit kepada penerjun negara selain daripada China yang amat dominan.

"Selepas ini, Insya-Allah, program harus ditumpukan ke arah meningkatkan lagi persefahaman dan ketekalan dan darjah kesukaran terhadap pasangan negara ini.

"Ia supaya mereka mendapat markah yang lebih (tinggi) dalam Sukan Olimpik nanti," katanya.

Gandingan Pandelela Rinong-Cheong Jun Hoong meraih pingat perak acara berkenaan dalam Sukan Olimpik Rio 2016.

Gandingan negara itu hanya ketinggalan 10 mata di belakang pemenang pingat emas dari China.

Secara keseluruhan, terjun, badminton dan berbasikal trek menjadi penyumbang pingat negara dalam temasya itu, namun Malaysia masih lagi kemarau pingat emas.