Sukan Asia Indonesia 2018 menyaksikan penampilan sukan-sukan yang jarang mewakili Malaysia di persada antarabangsa, apatah lagi temasya sukan terbesar di Asia, seperti paragliding, kenu dan juga perahu naga.

Tiada sasaran diletakkan kepada muka-muka baru ini, namun menurut Setiausaha Agung Majlis Olimpik Malaysia, Datuk Nazifuddin Najib, beliau ingin melihat atlet-atlet daripada sukan ini cemerlang sebagai permulaan yang baik untuk mewakili Malaysia pada masa akan datang.

Kapten skuad perahu naga wanita negara, Lesley Lim, menyifatkan sukan ini memiliki ciri-ciri tersendiri dan boleh diketengahkan kepada komuniti Malaysia pada masa akan datang.

"Perahu naga merupakan satu sukan berpasukan yang unik, setiap ahli pasukan memiliki peranan yang sangat penting. Setiap pendayung perlu berada dalam rentak yang sama," kata Lesley.

"Sebelum ini, kami memiliki idea untuk menubuhkan skuad kebangsaan untuk dihantar bertanding dalam kejohanan antarabangsa dan saya melihat apabila Malaysia layak ke Sukan Asia, ia adalah satu peluang buat kami membuktikan kebolehan dan memajukan sukan ini di seluruh Malaysia.

"Cabaran kami adalah masa dalam pasukan untuk saingan ke Sukan Asia. Rata-rata atlet adalah separuh masa dan memiliki komitmen lain seperti pengajian dan kerja," tambahnya.

Berada dalam kategori B, pengurus pasukan, Leong Wai Lun, berharap penajaan yang diperoleh dapat meningkatkan semangat pasukan untuk mencipta keputusan positif.

"Di sebalik dana serta perbelanjaan yang dikeluarkan sendiri oleh atlet, kami menerima penajaan daripada AirAsia bagi tiket penerbangan kami ke Sukan Asia.

"Perahu naga adalah sukan yang kurang popular di Malaysia dan kami mahu mencipta sesuatu di Indonesia nanti," katanya.