Warriors tagih 'ilmu kejayaan' Aidil Aiman di Bangkok

Oleh Staff Writer 26 Oktober 2016 340
Warriors tagih 'ilmu kejayaan' Aidil Aiman di Bangkok
Kelantan Warriors kekal berpuas hati dengan senarai lapan pemain semasa mereka, malah menaruh keyakinan tinggi kepada gandingan yang menewaskan Melaka Titans dalam minggu ketiga Liga Sepak Takraw (STL) 2016, 16 Oktober lalu.

Justeru, jurulatih skuad skuad Pantai Timur itu, Rozi Rahman, tidak nampak sebarang keperluan untuk merombak regu yang sudah serasi dan kini berada di tempat kelima carta STL selepas menang dua kali daripada lima perlawanan.

"Kami akan kekalkan gandingan Khairul Hisham Yusoff, Wan Naim Izani Wan Mohd Noor dan Aidil Aiman Azwawi yang menewaskan Melaka Titans 11-21, 21-13, 21-12 di Stadium MPSJ, Serdang Jaya, Selangor itu. Inilah prestasi terbaik kami dalam tiga minggu pertama STL.

"Mereka sudah jumpa rentak permainan sebenar walaupun ada serba-sedikit aspek permainan yang perlu diperbaiki," katanya sebelum saingan minggu keempat yang bakal bersambung 4 November ini.

Rozi menambah sekalipun berjaya menjadi pasukan pertama musim ini yang menumbangkan juara bertahan, ATM Guardians, pada 1 Oktober lalu, aksi Warriors ketika itu bukanlah yang terbaik dan belum memuaskannya.

"Rata-rata pemain kami lambat dapat rentak permainan manakala prestasi ATM pula tidak menepati status mereka yang memiliki dua pemain negara di posisi tekong dan apit kanan atau perejam," katanya.

Mengenai apit kiri Warriors, Aidil Aiman, yang dikhuatiri masih cedera atau kepenatan akibat bersama skuad negara yang baru pulang daripada Piala Raja Thailand di Bangkok, dia berkata: "Saya yakin dia akan kembali cergas menjelang minggu keempat STL. Yang penting dia kena berani."

Aidil Aiman membantu Malaysia menjuarai acara baharu kuadran (berempat) di Bangkok dengan menewaskan Indonesia, Vietnam dan Singapura.

Rozi juga tidak gusar dengan ketumpulan tekong utamanya, Mohd Hisyam Mat, dengan menganggap pemain itu memerlukan sedikit masa untuk mencapai tahap terbaiknya selepas tidak diturunkan, apatah lagi peranannya kini dijalankan dengan berkesan oleh Khairul Hisham.

Tentang Penulis

Staff Writer

Komen