Terengganu Turtles mengukuhkan cengkaman sebagai pendahulu Liga Sepak Takraw (STL) 2016 apabila mudah melepasi tentangan Kuala Lumpur Thunder, semalam dan ATM Guardians, kelmarin.

Empat mata tambahan di Stadium MPSJ, Serdang Jaya, Selangor dengan kemenangan berganda 21-10, 22-20 dan 21-16, 21-18 itu membolehkan pasukan Pantai Timur ini selesa meninggalkan pencabar terdekat, Penang Panthers, yang dikejutkan ATM Guardians 21-13, 15-21, 18-21.

Panthers (tekong, Syahir Rosdi, perejam Kamal Ishak dan pengumpan, Suhairi Sulaiman) terpaksa akur dengan leburnya rekod tanpa kalah mereka selepas dikecewakan dalam tempoh sejam 25 minit oleh Nazmi Najib, Afifuddin Razali dan Norfaizzul Razak.

Jumlah 10 mata yang dikumpul oleh Turtles selepas lima perlawanan sepanjang saingan tiga minggu sejak 30 September lalu, memisahkannya dengan enam mata milik pasukan utara itu yang dibimbing bekas apit kanan Malaysia, Helmi Ismail.

Thunder pula gagal memastikan dua mata sebagai hadiah perpisahan buat apit kirinya, Syafiq Ab. Rahman, yang bakal melapor diri sebagai anggota Polis Diraja Malaysia mulai minggu depan untuk latihan enam bulan, sekali gus meninggalkan STL lebih awal.

Namun, peranan pengumpan itu didukung oleh Amirul Zazwan Amir semalam yang bergandingan dengan tekong dan perejam kedua, Farid Aziz dan Hafiz Rahman, yang gagal menandingi kehebatan regu Turtles (Zulkifli Razak, Fadzli Roslan dan Azwan Muhrim).

Juara bertahan, ATM Guardians, yang dibimbing Aswadi Abdullah pula wajar berpesta dan menghela nafas lega dengan kemenangan sulung ini selepas kemarau mata dalam keempat-empat perlawanan lalu.

Satu lagi perlawanan kelmarin menyaksikan Kedah Eagles melonjak ke tangga keempat STL setelah menumpaskan Kelantan Warriors 12-21, 21-18, 21-14 dengan menampilkan perejam utamanya, Shahrol Nizam Romli yang baru pulih daripada kecederaan buku lali sejak 29 September lalu.

Pertemuan buku ruas yang diharapkan dalam perlwanan Turtles-Thunder seperti meleset apabila regu Terengganu itu terlalu unggul dalam set pertama, 3-1, 6-3, 14-5, 19-9, namun kemasukan tekong kebangsaan, Ahmad Aizat Mohd. Nor Azmi, mengubah sedikit rentak Kuala Lumpur ketika ketinggalan 5-15.

Tanpa perejam utama, Zamree Dahan yang mengalami keretakan tapak kaki dan terpaksa berehat tiga minggu, Thunder masih mampu mengejar dan mendahului 7-5 dan 11-7 sebelum diikat lawan 14-14 dan diheret ke dua mata dius dalam set kedua.

Ditanya sama ada sudah selesa sebagai pendahulu dengan rekod tanpa kalah itu, kata pengurus pasukan Turtles, Shafei Sulong, “Perjalanan kami masih panjang dan kami menyedari kemajuan pencabar lain seperti Panthers dan Johor Tigris.

“Kami masukkan Sobey (Zulkifli) supaya dia yang belum bermain dalam tiga perlawanan lalu, merasai suasananya kali ini. Lagipun menurut jurulatih Vittaya Boontha, tahap kecergasannya bagi perlawanan belum sampai bagi minggu pertama dan kedua STL,” katanya.

Jurulatih Thunder, Azhar Sarabini, berkata “Semangat juang pemain menurun tanpa Zamree di sisi yang ditimpa musibah itu di tempat kerjanya. Menentang Turtles ini, kami hanya dapat senaraikan empat pemain kerana seorang lagi pelibas, Khairul Anuar Ibrahim, turut cedera.”