Terengganu Turtles tidak menunjukkan rasa cepat berpuas hati, malah kian kukuh sebagai pendahulu carta mata tanpa kalah apabila menghampakan ATM Guardians 13-21, 21-18, 21-18 di Stadium MPSJ, Serdang Jaya, Selangor, hari ini.

Dengan tiket separuh akhir Liga Sepak Takraw (STL) 2016 sudah digenggam semalam selepas membenam Melaka Titans, Turtles tetap enggan merelakan rekod itu dicalar sekalipun ditentang Guardians selama 75 minit dalam perlawanan ke-11 mereka.

Namun, Zulkifli Razak (tekong), Kamal Alfiza Shafie (perejam) dan Azwan Muhrim (pengumpan) turut bertuah kerana dibantu ketahanan mental Nazmi Najib, Afifuddin Razali dan Norfaizzul Razak yang goyah ketika ATM mendahului set kedua dan penentuan.

Zulkifli atau Sobey kurang menjadi dalam membantu mencari mata mudah hari ini, malah servisnya beberapa kali dibatalkan pengadil, namun jurulatih Vitthaya Boontha tetap enggan menukarnya dengan tekong kidal, Irsyad Faiz Aziz.

Mengumpul 22 mata, skuad ini juga meninggalkan cuma tiga slot separuh akhir STL untuk direbut Penang Panthers, Kuala Lumpur Thunder dan Guardians selain cuba diintai Johor Tigris di tempat kelima.

Panthers (Syahir Rosdi, Azlan Alias dan Zaim Razali) pula dalam satu lagi aksi minggu ketujuh ini, menundukkan Kuala Lumpur Thunder (Farid Aziz, Hafiz Rahman dan Amirul Zazwan Amir) 21-18, 21-18 untuk cuba mengasak status pendahulu milik Turtles dan memastikan tiket separuh akhir.

Dalam saingan Divisyen Satu STL terdahulu, Selangor kekal sebagai peneraju minggu ketiga setelah pencabar terdekat di tangga kedua, Persatuan Sepak Takraw Malaysia (PSM) A, bermandi peluh untuk menjinakkan bekas pendahulu, Perak The Bos Gaurus 13-21, 21-17, 21-14.

Selangor yang tidak beraksi hari ini, mempunyai kelebihan jurang set menang dan set kalah, tujuh namun terikat 10 mata dengan PSM A (enam) dan Negeri Sembilan The Jangs (lima) di tangga kedua dan ketiga carta mata selepas enam perlawanan.

PSM A (Idham Sulaiman/Said Ezwan Said De, Ridaudin Ghani dan Safarudin Abu Bakar) memerlukan 98 minit untuk meraih dua mata liga itu manakala The Jangs (Izuan Efendi Azlan, Hafizul Hayazi Adnan dan Shahir Nasrudin) mengejutkan PSM B 21-19, 21-18 selepas 46 minit.