Juara Liga Sepak Takraw (STL), Perak Bison, menganggap ia pasukan bukan pilihan apabila turun beraksi dalam Trofi Juara-Juara di Johor Bahru bermula Ahad ini.

"Walaupun kami baru menjuarai liga, kami tetap pasukan kerdil dalam kejohanan ini.

"Ini kerana pasukan lain memiliki khidmat pemain kebangsaan yang baru selesai tugasan dalam Sukan SEA Filipina sedang kami tiada pemain kebangsaan, " kata pengurus pasukan, Shamsul Istar Ibrahim Istar.

Bison diundi dalam kumpulan A bersama Penang Black Panthers, Johor Tigris, Phillipines Navy Seal, Korea Selatan dan Ratchaburi Takraw Club (Thailand).

Malah, Shamsul menyifatkan kumpulan itu sebagai kumpulan maut kerana mempunyai pasukan-pasukan handal, terutama Korea Selatan yang menurunkan pasukan kebangsaan.

"Kami kena realistik dan berpijak di bumi nyata terhadap peluang Perak Bison dalam kejohanan ini. Kami hanya pasukan kerdil.

"Saya harap pemain mampu memberi persembahan terbaik dari awal hingga ke akhir, " katanya.

Dalam kejohanan itu, Bison akan menampilkan dua tekong, iaitu Meor Mohamad Zulfikar Mat Amin dan Natthawut Naewprom, serta dua apit kanan, Amirul Ramadhan Fadzillah Suhaimi dan Muhammad Fadzil Mustapa serta Azwan Muhrim (apit kiri).

Trofi Juara-Juara STL kali ini turut disertai oleh ATM Guardians, Kelantan Warriors, Negeri Sembilan Antlers, China, Indonesia dan Singapura.