Momentum kejayaan terus menyebelahi Johor Tigris apabila menumpaskan juara bertahan, ATM Guardians, 21-16, 16-21, 21-16 dalam perlawanan keduanya dalam Liga Sepak Takraw (STL) 2016 di Stadium MPSJ, Serdang Jaya, Selangor, hari ini.

Ia susulan kemenangan mereka ke atas membenam Melaka Titans, semalam.

Pasukan pilihan, Penang Panthers, pula seakan-akan terlalu gagah buat Kedah Eagles apabila menang 21-14, 24-22 sekalipun merehatkan tekong dan pelibas utama mereka yang juga pemain negara, Syahir Rosdi dan Azlan Alias, sambil mengutip kemenangan ketiga selepas menewaskan Kuala Lumpur Thunder 9-21, 21-19, 21-17, semalam.

Panthers menurunkan apit kanan ketiganya, Danial Baharin, namun mengekalkan pengumpan, Zaim Razali manakala Eagles yang dibelenggu masalah kecederaan dua perejam, mempertaruhkan Asrah Adenan (tekong) selain muka baru sebagai pengganti apit kanan, Faris Salleh serta Zuleffendi Sumari (apit kiri).

Lebih sejam diperlukan regu Tigris -- Haidzir Rashid (tekong), Norhafizi Razak (pelibas) dan Saifulrudin Khalid (pengumpan) -- untuk memastikan dua mata liga lagi biarpun mendapat tentangan sengit Nazmi Najib, Khairudin Adenan dan Norfaizzul Razak.

Bagi ATM, inilah kekalahan ketiga berturut-turut mereka selepas bermula dengan langkah kecundang kepada Melaka Titans 21-13, 18-21, 18-21 dan Kelantan Warriors 21-23, 16-21 dalam saingan minggu kedua STL, Sabtu dan Ahad lalu.

Bersemangat dengan kemenangan 21-18, 11-21, 22-20 terhadap Titans, Tigris yang masih menurunkan Norhafizi yang masih berbalut siku kirinya kerana kecederaan semalam, mengejar ATM yang menguasai set pertama, 4-1, 2-6 dan 7-8 untuk mengikat 8-8 sebelum mendahului 11-9 sehingga 16-10.

Set kedua menyaksikan Guardians bangkit untuk berada di depan 7-2, 11-6, 13-8 dan 18-12 serta 19-14 tanpa memberikan ruang lawan untuk menyamakan kedudukan atau memintas, namun permainan set penentuan menjadi seimbang dengan terikat 9-9, 12-12 dan 14-14.

Tigris mara dengan merampas kedudukan pendahulu selepas menambah lima mata menerusi pertahanan yang mantap dan kesukaran Guardians mencuri mata menerusi servis tekong negara, Nazmi, mahupun rejaman Khairudin yang kadang-kala gagal membantu.

Jurulatih Tigris, Jamaluddin Hassan, berkata, “Alhamdulillah, pemain dapat mengekalkan prestasi seperti berdepan dengan Titans. Kami disaingi hebat ATM dan pada saat akhir, ada lagi kesilapan kami. Di sinilah pentingnya kekuatan mental dan kesabaran kami.

“Norhafizi masih terasa sakit sikunya dan kami khuatir keadaannya ketika merejam dan mendarat tetapi semangatnya mengatasi segala masalah itu. Dia juga mampu mententeramkan rakan sepasukan.”

“Peningkatan prestasi kami ada tetapi peluang mata yang diperlukan dan sepatutnya diambil menjadi sebaliknya. Tuah seperti belum menyebelahi kami lagi," jelas jurulatih Guardians, Aswadi Abdullah.

Mengenai pertukaran apit kiri berbanding minggu lalu, iaitu Nazuha Nadzli kepada Norfaizzul, katanya, “Saya bukan mahu memberikan alasan tetapi sesi latihan kami memang terhad. Masing-masing terlibat dengan persediaan skuad chinlone negara dan kursus majikan.

“Saya tidak boleh mengambil risiko untuk menukar perejam kepada Afiffudin Razali kerana dia belum 100 peratus pulih akibat kecederaan lutut,” katanya, mengulas mengapa Guardians tidak membuat pertukaran apit kanan mahupun tekong (Hasman Che Hamid) bagi memperbaiki keadaan.

KEPUTUSAN HARI INI –

Johor Tigris mn ATM Guardians (21-16,16-21,21-16)
Penang Black Panthers mn Kedah Eagles (21-14, 24-22)

KEPUTUSAN SEMALAM -

Johor Tigris mn Melaka Titans (21-18, 11-12, 22-20)
Penang Black Panthers mn Kuala Lumpur Thunder (9-21, 21-19, 21-17)

Jadual Ekspres Perdana STL 2016:
Ahad (9 Oktober 2016)
4.00 petang - Melaka Titans lwn Terengganu Turtles
5.30 petang - Kuala Lumpur Thunder lwn Kelantan Warriors