Kehadiran tekong utama dan apit kiri berwibawa menjulang Johor Tigris dengan kemenangan sulung dalam Liga Sepak Takraw (STL) 2016 apabila menumpaskan Melaka Titans 21-18, 11-21, 22-20 hari ini.

Haidzir Rashid dan Saifulrudin Khalid jelas memberikan kesan positif kepada Tigris sambil meyakinkan apit kanan, Norhafizi Razak, menyudahkan rejaman untuk menambah mata dalam 'Perang Jiran Selatan' di Stadium MPSJ, Serdang Jaya, Selangor itu.

Melaka Titans pula kehilangan pemain kebangsaan, Sahidan Md. Ali, kerana kecederaan kaki setelah tekong tinggi lampai itu membantu mengejutkan juara bertahan, ATM Guardians, 13-21, 21-18, 21-18 minggu lalu.

Mereka juga membuat rombakan drastik pada set pertama dengan mengeluarkan perejam dan pengumpan, Amirul Asyraf Idris dan Zarlizan Zakaria, untuk digantikan oleh Azwan Yahya dan Lutfi Asiman, namun hanya bergantung kepada tekong tunggal, Khobil Sapair.

Namun, Tigris yang dibimbing bekas jurulatih negara, Jamaluddin Hassan, terpaksa membayar kejayaan itu dengan harga tinggi apabila Norhafizi mengalami kecederaan tangan ketika mendarat selepas merejam.

Set pertama jelas milik Johor dengan mendahului 10-9, 14-11, 19-17, namun Melaka bangkit membalas dalam set kedua dengan sentiasa di depan, 3-1, 8-3, 15-5, 18-8 dan 19-11 selepas kedua-dua apitnya berjaya membaca servis kidal Haidzir.

Set ketiga berlangsung agak dramatik dengan Tigris dan Titans saling terikat 10-10, 16-16, 20-20 yang akhirnya menyebelahi regu kendalian Jamaluddin selepas mereka berentap hampir satu setengah jam dan terpaksa akur diterima lawan sejawatan, Ahmad Ezzat Zaki.

Kata Jamaluddin, "Inilah gandingan yang kami yakini dan merugikan kalau kami tidak memenanginya dengan ketiadaan Sahidan yang pasti membawa kelainan pada lawan. Set kedua kami mengalami masalah lontaran bola sehingga servis kurang berkesan."

"Tanpa Sahidan, seorang lagi tekong kami pula perlu menjalani pembedahan, jadi terpaksa bergantung sepenuhnya dengan Khobil.

"Kami buat pertukaran dua apit serentak kerana mahu mempelbagaikan servis tetapi nasib turut mempengaruhi keputusan perlawanan ini," kata Ezzat pula.

Dalam satu lagi perlawanan, Penang Black Panthers mengalahkan Kuala Lumpur Thunder 9-21, 21-19, 21-17.