Nasib atlet sepak takraw yang terbabit dalam skandal doping makin parah apabila Institut Sukan Negara (ISN) menggantung tiga pemain dan seorang jurulatih yang tersenarai dalam Program Podium.

Ia bagi melancarkan siasatan yang sedang dijalankan Persatuan Sepak Takraw Malaysia (PSM) dan Persekutuan Sepak Takraw Anatrabangsa (ISTAF).

"Saya dan Program Podium memberikan sokongan penuh terhadap polisi anti doping. Di dalam kontrak setiap atlet, tertulis klausa mengenai polisi anti doping. Jika atlet melanggar klausa tersebut, mereka boleh digantung serta merta.

"Saya tidak bercakap mengenai mana-mana kes atau individu tetapi saya menegaskan ia berjalan kepada semua atlet dan kami sangat memandang berat terhadap hal tersebut," jelas Pengarah Program Podium, Tim Newenham.

Majlis Sukan Negara (MSN) pula meminta PSM segera bertindak kerana jika didapati bersalah, Malaysia akan kehilangan peluang untuk mendominasi Sukan SEA Kuala Lumpur 2017.

Sebanyak lima pingat emas ditawarkan bagi acara sepak takraw lelaki.

"Kami mempunyai pemain yang ramai, pasukan Kita Juara, Program Podium dan pelapis telah sedia ada, kini dalam porgram latihan sepenuh masa.

"Kami sedang menunggu apa sahaja keputusan yang dikeluarkan dan kami akan mengatur strategi seterusnya untuk menghadapi Sukan SEA Kuala Lumpur," ujar Ketua Pengarah MSN, Datuk Ahmad Shapawi Ismail.

Skuad sepak takraw negara muncul juara bagi kategori antara regu dan quadrant dalam Kejohanan Sepak Takraw Piala Raja Thai Ke-31, bulan lalu. Skuad negara menewaskan Myanmar dalam final dengan straight sets di Bangkok.

Dengan insiden terbaru berkaitan skandal doping itu, ia menyaksikan imej sukan sepak takraw negara tercemar.



Anda juga boleh mendapat berita ini melalui Stadium Astro app. Muat turun sekarang https://www.stadiumastro.com/ms/mobile-app