Persekutuan Sepak Takraw Asia (ASTAF) menyifatkan Presiden Persatuan Sepak Takraw Malaysia (PSM), Datuk Seri Ahmad Ismail, tidak berminat untuk mempertahankan diri selepas gagal menjawab tuduhan terhadapnya.

Presidennya, Datuk Abdul Halim Kader, berharap Ahmad dapat memberi kerjasama menghadiri prosiding tatatertib esok untuk menentukan status dan kedudukannya.

Permintaan Ahmad untuk melanjutkan tarikh menjawab tuduhan secara bertulis tidak diterima ASTAF.

Tambah Halim, prosiding tatatertib tetap akan diteruskan esok untuk mendengar dan membicarakan tuduhan terhadap Ahmad sekiranya beliau memilih untuk tidak hadir.

ASTAF memaklumkan bahawa mereka akan meneruskan tindakan tatatertib terhadap PSM berikutan kenyataan Ahmad mengenai pemilihan ASTAF 1 Mac lalu dan PSM juga digantung sementara sehingga perbicaraan diadakan.

"Pihak ASTAF tidak menerima sepertimana kami hendaki dalam 14 hari sebaliknya kami pula diberikan soalan-soalan baru untuk kami berikan kepada beliau. Jadi dalam erti kata lain, beliau enggan mempertahankan diri dan segalanya terpulang kepada pihak Ahmad," katanya.

"Seramai tujuh orang dilantik bagi mengendalikan kes berprofil tinggi yang dianggap penting kerana ia bukan kes biasa kerana ia melibatkan seorang presiden dalam badan induk sukan negara dan merupakan salah seorang anggota dalam ASTAF."