Persatuan Sepak Takraw Malaysia (PSM) menegaskan ia tidak akan mudah untuk dua bekas tekong negara, Mohd Syahir Rosdi dan Zulkifli Abdul Razak, diterima semula menyertai kem kebangsaan biarpun sebelum ini mendapat lampu hijau daripada Menteri Belia dan Sukan, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman.

Hakikatnya, persatuan itu sendiri sudah pun membentangkan perincian kes tersebut kepada Majlis Sukan Negara (MSN) dalam pertemuan di Johor Bahru, 7 Ogos lalu.

Meskipun Kementerian Belia dan Sukan (KBS) memberi petanda positif kedua-dua tekong itu bakal kembali, PSM tetap bertegas bahawa mereka masih perlu melalui proses yang termaktub dalam perlembagaan, iaitu menghadap jawatankuasa tatatertib badan induk itu untuk menjawab pertuduhan.

"PSM akan buat perjumpaan dengan menteri, menerangkan apa yang sudah berlaku agar beliau jelas dengan tindakan yang diambil," kata Setiausaha Agung PSM, Datuk Abidullah Salleh.

Sebelum ini, KBS menerusi menterinya, Syed Saddiq, memberi bayangan bahawa kedua-dua tekong pingat emas Sukan Asia itu akan keluar daripada persaraan untuk kembali menyarung jersi kebangsaan.

Dalam masa sama, Abidullah juga menyarankan agar kedua-dua pemain itu tidak berdiam diri, sebaliknya hendaklah menjawab surat pertuduhan yang akan dihantar kepada mereka seandainya berhasrat untuk membuat rayuan beraksi semula, khususnya dalam saingan Liga Sepak Takraw (STL) yang akan membuka tirai bulan depan.

"Dalam jawatankuasa disiplin, ia melibatkan sekitar tujuh individu. Kalau sepakat mengatakan mereka boleh bermain, bolehlah dan kalau tidak selama beberapa tempoh, terpulang. Jika mereka tidak bersetuju, boleh kemukakan rayuan," katanya.