Terengganu Turtles melaungkan amaran awal selaku antara pasukan pilihan apabila meraih kemenangan kedua dengan menundukkan Kedah Eagles 21-13, 21-16, semalam sekali gus menerajui kedudukan Liga Sepak Takraw (STL) 2016 selepas saingan minggu pertama.

Terdahulu nasib berbeza menimpa juara bertahan, Angkatan Tentera Malaysia (ATM) Guardians yang kalah kali kedua berturut-turut dalam tempoh dua hari. kali ini kepada Kelantan Warriors 21-23, 16-21 selepas berentap 55 minit di Stadium MPSJ, Serdang Jaya, Selangor.

Turtles bimbingan Hamikhairi Roslan dan dibantu Vitthaya Boonta dari Thailand kini mengumpul empat mata termasuk dengan menjinakkan Johor Tigris 21-12, 21-10 ketika membuka tirai STL 2016, Jumaat lalu.

Pasukan dari Pantai Timur itu yang menampilkan Irsyad Faiz Aziz (tekong), Fadzli Roslan (apit kanan atau pelibas) dan Azwan Muhrim (apit kiri atau pengumpan) jelas terlalu gagah buat Nazirul Akram Razali, Ali Alhamidi Ayob dan Zuleffendi Sumari dalam 45 minit.

Turtles sentiasa di depan, 3-1, 7-4, 13-10, 17-12 dan 19-13 dalam set pertama dan terus gagah dan mara menguasai set kedua 3-0, 8-6, 14-8, 17-12 dan 19-15 sehingga tiada ruang untuk lawan bangkit memintas sekalipun menggantikan tekongnya, Nazirul Akram Rozali dengan Asrah Adenan.

Kata pengurus Turtles, Shafei Sulong, “sebenarnya kami mendapat bimbingan jurulatih Thailand, Boonta yang banyak mengasah bakat pemain walaupun ada ketikanya persiapan kami tidak lengkap kerana masalah pelepasan majikan masing-masing.

“Kami rasa dalam set kedua, jurang mata tidak begitu jauh, hanya dalam empat lima mata dan kami agak tertekan tetapi Vittaya membuat pertukaran teknik,” katanya.

Pengurus Eagles, Syed Hussain Syed Abu Bakar berkata, “kelebihan memihak kepada Terenganu yang banyak mengutip mata menerusi servis sedangkan sambutan servis dan pertahanan kami lemah.”

Guardians yang kelmarin ditundukkan Melaka Titans 21-13, 18-21, 18-21 menurut jurulatihnya, Aswadi Abdullah, “kami cuba menukar apit kiri, Nazuha Nadzli bagi perlawanan hari ini tetapi rentak permainan tidak banyak berbeza.

“Kami juga menghadapi masalah lontaran bola apit kanan, Afiffudin Razali kepada tekong, Hasman Che Hamid yang kemudian digantikan Nazmi Najib dalam usaha mengutip mata mudah menerusi servis biarpun libasan dan tampanannya bagus,” katanya.

Guardians turut memasukkan pelibas keduanya, Khairudin Adenan manakala Kelantan Warriors mengekalkan gandingan yang tewas kelmarin iaitu Khairul Hisham Yusoff, Wan Naim Izani Wan Mohd, Noor dan Aidil Aiman Azwawi.

Kata jurulatih Kelantan, Rozi Rahman: “kami kekal gandingan yang menentang Penang Panthers dan memperbaiki kelemahan daripada kekalahan itu namun sebagai bukan pilihan, Guardians pun bukan calang-calang lawan. Mungkin pertahanan kami juga mantap.”