Pendahulu Liga Sepak Takraw (STL) 2016, Terengganu Turtles, memasang impian untuk menjinakkan ATM Guardians bagi meneruskan rekod empat kemenangan berturut-turut meskipun tidak dapat menurunkan tonggak utama, Hanafiah Dollah.

Apit kanan Terengganu itu mengalami kecederaan pangkal paha dan dijangka terlepas perlawanan itu di Stadium Majlis Perbandaran Subang Jaya, Serdang, Ahad ini.

Katanya, Terengganu masih dahagakan kemenangan untuk mengukuhkan kedudukan sebagai pendahulu dan berhasrat untuk menjadikan ATM sebagai mangsa seterusnya.

"Kami yakin untuk bertemu dengan ATM kerana prestasi pemain berada di tahap yang terbaik sekarang.

"Bertemu dengan ATM nanti, pertahanan kami perlu lebih berhati-hati kerana ATM mempunyai tekong yang bagus dari segi servis. Jadi, kawalan gelanggang adalah yang paling penting."

Nasib sama juga menimpa Kedah Eagles apabila kehilangan dua pemain, Sharul Nizam Romli dan Ali Alhamidi Ayob, yang mengalami kecederaan.

Pun begitu, pemain Johor Tigris, Norhafizi Razak, berkata pasukannya tetap berwaspada dengan pengganti mereka, iaitu Faris Salleh dan Fadzil Baharuddin, yang masih mampu memberi ancaman buat pasukan dari selatan itu.

Norhafizi berkata Johor perlu menang ke atas Kedah, Ahad ini, untuk terus menghambat pendahulu kumpulan, Terengganu, yang unggul dengan enam mata.

"Ali Alhamidi mengalami kemalangan. Jadi, tempatnya akan diisi oleh Fadzil yang merupakan bekas pemain ATM musim lalu.

"Dengan adanya penambahan pemain dalam pasukan, saya pasti pasukan akan menjadi lebih mantap," kata Norhafizi.

Perlawanan di antara Terengganu dan ATM pada Ahad ini berlangsung jam 9.30 malam dan akan disiarkan secara langsung di Astro Arena saluran 801 & 802 HD.

Sementara itu, Kedah akan terlebih dahulu berdepan Kelantan Warriors, Jumaat ini, sebelum menentang Johor pada Ahad pada jam 5.30 petang.